X

Kindly register in order to view this article
!

Normal baharu di prasekolah

Halija (berdiri, belakang) melihat Pemaju Masyarakat Tabika Kemas Taman Zaitun Indah, Seremban, Siti Aisyah Zulkifli memberi tunjuk ajar kepada seorang murid.
A
A

TANJONG KARANG - Seramai 21 murid prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Burong di sini hadir dengan memakai pelitup muka, selain mengikuti prosedur operasi standard (SOP) selepas lebih tiga bulan sekolah itu ditutup akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Guru Besarnya, Isah Bappu berkata, sebanyak dua kelas dibuka membabitkan murid prasekolah berusia lima dan enam tahun.

"Kita dapat melihat reaksi murid yang sudah bersedia dan bersemangat untuk mengikuti sesi pembelajaran pada hari ini," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Isah berkata, antara SOP yang dilakukan pihak sekolah ialah pemeriksaan suhu, penjarakan susun atur meja, pelabelan, penggunaan cecair pembasmi kuman dan maklumat berkaitan Covid-19.

"Kawasan larangan juga ditanda dengan tali, petunjuk laluan keluar dan masuk, SOP berkaitan penyediaan makanan serta laluan keluar masuk di pintu pagar sekolah," katanya.

Beliau berkata, ibu bapa juga perlu memastikan anak-anak mereka dalam keadaan sihat ketika dihantar ke prasekolah.

Di SEREMBAN, sebanyak 311 buah Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) seliaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Negeri Sembilan dibuka.

Penolong Pengarah Kanan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kemas Negeri Sembilan, Halija Md Talib berkata, sebanyak 167 buah Tabika lagi akan dibuka pada 15 Julai ini.

“Kita buka secara berperingkat dan ibu bapa diberi taklimat terlebih dahulu berkenaan perjalanan sesi persekolahan dan SOP ditetapkan.

"Mereka juga perlu mengisi borang akuan membenarkan anak ke sekolah," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui semasa melawat sesi persekolahan hari pertama di Tabika Kemas Taman Zaitun Indah di sini.

Di KUALA TERENGGANU, seramai 10,915 murid prasekolah mengikuti sesi pembelajaran dan ditempatkan di 490 kelas di 316 buah sekolah yang dibuka di seluruh negeri ini.

Pengarah Pendidikan Terengganu, Salim Ab Ghani berkata, sebanyak 119 tadika swasta juga dibuka dengan 4,000 murid mula mengikuti sesi pembelajaran.

Murid beratur untuk diambil suhu badan dan memakai cecair pembasmi kuman.
Murid beratur untuk diambil suhu badan dan memakai cecair pembasmi kuman.

Tinjauan Sinar Harian di Pra An Nasuha, Sekolah Kebangsaan Kubang Ikan, Kuala Terengganu mendapati seramai tujuh murid mengikuti sesi pembelajaran.

Seorang ibu yang ditemui, Rubiah Omar, 38, berkata, dia berpuas hati dengan SOP yang dilaksanakan prasekolah tersebut.

Jelasnya, sebelum menghantar anaknya, Muhammad Zulfadhli Firdaus Ahmad Zamri, 6, pihak prasekolah telah mengadakan sesi taklimat beberapa hari sebelum pembukaan secara rasmi.

"Sebagai ibu bapa, saya menaruh kepercayaan kepada guru dan pihak pengurusan dalam mengendalikan anak-anak semasa sesi pembelajaran," katanya.

Di IPOH, Tadika International Kids Campus di Jalan Tun Abdul Razak di sini menyediakan pelindung muka atau face shield sebagai perlindungan tambahan khas untuk kanak-kanak sempena pembukaan semula pusat didikan itu.

Guru, Najwa Farhana Mohd Jafri berkata, pelindung muka berkenaan disediakan sendiri tenaga pengajar sejak dua minggu lalu.

Menurutnya, dengan pemakaian pelindung muka, kanak-kanak akan lebih selesa dan mudah untuk berkomunikasi sepanjang sesi pembelajaran.

"Face shield ini memang kami sediakan khas untuk kanak-kanak di tadika ini. Selepas selesai pemeriksaan suhu dan saringan gejala di pintu masuk, mereka akan dipakaikan face shield sebelum dibenarkan masuk ke ruangan belajar," katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, hari pertama operasi semalam adalah terkawal dengan pematuhan SOP melibatkan 28 kanak-kanak berusia antara empat hingga enam tahun.

Di ALOR SETAR, pembukaan semula Tabika dan Taska bawah seliaan Kemas memberi kelegaan kepada ibu bapa apabila mengguna pakai SOP yang ketat.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, ibu bapa berpuas hati dengan kaedah yang digunakan dan yakin anak-anak mereka selamat.

Bapa, Mohd Hafizlah Zainul Abidin, 38, mengakui berasa tenang ketika menghantar anaknya, Muhammad Danish Hazim, 6, ke Tabika.

"Saya dapati Tabika anak sememangnya mengambil beberapa langkah pencegahan seperti menyediakan sabun, mengambil maklumat kedatangan dan memeriksa suhu badan," katanya kepada Sinar Harian di Tabika Kemas Kampung Gelong Air, Padang Hang di sini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Pendidikan Awal Kanak-kanak Kemas Kedah, Tijah Hasan berkata, sebanyak 506 daripada 832 tabika Kemas di negeri ini dibuka, manakala selebihnya pada 15 Julai depan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!