X

Kindly register in order to view this article
!

Tujuh individu ditahan konvoi secara berbahaya

A
A

KUALA LUMPUR - Tujuh daripada 720 peserta konvoi motosikal di Temerloh, Pahang ditahan manakala selebihnya disaman kerana menunggang secara berbahaya, kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Bukit Aman Datuk Azisman Alias.

Beliau berkata, kesemua individu ditahan itu disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain.

“Pihak JSPT telah mengenakan 358 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya, antaranya tidak mempunyai lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, pengubahsuaian nombor plat pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan tiada cermin sisi.

“Purata kemalangan maut melibatkan motosikal antara 13 hingga 14 dalam sehari di seluruh negara dan individu yang ditahan ini, JPST ambil tindakan tegas dan kami akan merekodkan keterangan mereka untuk bantu siasatan,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai konvoi bermotosikal secara beramai-ramai yang tular di media sosial di Temerloh, Pahang baru-baru ini.

Mengulas mengenai seorang individu disyaki mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan berhubung konvoi motosikal berkenaan Azisman berkata, pihaknya telah membuat laporan polis pada kira-kira 11.30 pagi semalam.

“Kenyataan individu berkenaan yang tular di media sosial baru-baru ini jelas mendatangkan kegusaran awam dan kebimbangan kepada orang lain, malah kenyataan lelaki dalam video terbabit adalah tidak wajar, seolah-olah memperkecilkan dan memperlekehkan tugas polis.

“Ia seolah-olah menggalakkan anak-anak muda berkonvoi sedangkan kita harus ingat bahawa isu pandemik Covid-19 ini masih belum dipecahkan rantaiannya,” katanya.

Azisman berkata, pihaknya telah meneliti video tular itu dan JSPT sepakat untuk membuat laporan polis terhadap individu yang membuat kenyataan kerana ia mampu menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat terutama penunggang motosikal.

“Lagipun, polis tidak tahan mereka sesuka hati (berdasarkan kenyataan dalam video yang tular). Saman (terhadap konvoi di Temerloh) dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Menurut Azisman lagi, dalam operasi berkenaan, seramai 720 individu dan 600 motosikal telah diperiksa. -Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf