Nelayan cari duit sampingan jual dadah

Omar Bakhtiar (dua dari kiri) pada sidang akhbar di IPD Kerian semalam menunjukkan dadah dan peralatan mengedar yang dirampas.
Omar Bakhtiar (dua dari kiri) pada sidang akhbar di IPD Kerian semalam menunjukkan dadah dan peralatan mengedar yang dirampas.
A
A
A

BAGAN SERAI - Tindakan seorang nelayan mencari pendapatan sampingan dengan mengedar dadah mengundang padah apabila dia dicekup polis dalam kejadian minggu lalu.

Lelaki berusia lingkungan 40-an ditahan dalam serbuan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di sini menerusi Ops Tapis.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kegiatan suspek utama itu dikesan hasil tangkapan tiga penagih dan penjual dadah di tiga lokasi berasingan sekitar Kuala Kurau.

“Serbuan pada jam 6.45 petang itu di sebuah rumah mendapati lelaki itu sedang leka menghisap dadah di lantai bahagian dapur.

“Di hadapannya terdapat sebanyak 42 peket plastik mengandungi dadah jenis heroin seberat 137 gram, 12 peket methamphetamine (9.5 gram) dan dua pil erimin 5,” katanya pada sidang akhbar di IPD Kerian di sini.

Omar Bakhtiar berkata, semakan mendapati suspek baru berjinak-jinak menjadi pengedar dadah sebulan yang lalu setelah pendapatannya terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Suspek menjual dadah dengan harga RM10 dan RM20 bagi setiap tiub straw atau RM40 bagi setiap gram.

“Anggaran keseluruhan dadah yang dirampas adalah 147.8 gram bernilai RM10,000,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, keempat-empat suspek disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.