JSJN tunjuk prestasi luar biasa suku akhir 2018

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun - Foto Bernama
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan prestasi luar biasa pada suku terakhir 2018 dengan berjaya meningkatkan 10 peratus kadar tangkapan iaitu seramai 53,380 orang berbanding 48,582 tangkapan pelbagai kesalahan dadah bagi tempoh yang sama pada 2017.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata nilai rampasan yang direkodkan bagi tempoh yang sama pada tahun lepas meningkat sebanyak 231 peratus berbanding rampasan tempoh yang sama pada 2017 iaitu sebanyak RM70.4 juta.

“Selain itu, sembilan makmal haram memproses dadah telah berjaya dibongkar pada suku terakhir tahun lepas dan ia meningkat berbanding tempoh yang sama pada tahun 2017 iaitu lima buah makmal haram telah dibongkar.

“Kejayaan luar biasa itu merupakan pencapaian terbaik yang pernah dicapai oleh JSJN dan usaha itu kita akan terus pertingkatkan bagi memerangi dadah di seluruh negara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Ketua-Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Se-Malaysia 1/2019 di sini hari ini.

Beliau berkata peningkatan prestasi luar biasa yang dicapai oleh JSJN adalah disebabkan adanya keberkesanan risikan dan terdapat usaha bersepadu dalam PDRM untuk membanteras pengedaran dadah.

“Walaupun JSJN adalah jabatan yang bertanggungjawab dalam membanteras dadah namun jabatan-jabatan lain yang ada dalam PDRM juga akan membantu khususnya dari segi pengumpulan maklumat.

“Selain itu, kerjasama dengan masyarakat luar juga telah membantu usaha memerangi dadah...oleh itu saya berterima kasih kepada pihak luar kerana berani tampil ke hadapan untuk memberikan maklumat kepada pihak polis kerana maklumat itu akan memudahkan tindakan untuk perangi dadah,” tambahnya.

Mohamad Fuzi berkata pihaknya juga mengadakan kerjasama dengan pihak berkuasa luar khususnya berkaitan maklumat, latihan dan kemudahan peralatan terutamanya teknologi baharu untuk membuat pengesanan dadah.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai mesyuarat itu, beliau berkata persidangan berkenaan akan menjadi platform untuk membincangkan pendekatan baharu serta idea yang lebih revolusioner untuk terus meningkatkan prestasi cemerlang yang dicapai JSJN sebelum ini.- Bernama