Tiga parti adakan pertemuan kukuhkan PN

UMNO, Bersatu dan Pas. - Foto sumber internet.
UMNO, Bersatu dan Pas. - Foto sumber internet.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa mengadakan pertemuan malam tadi dipercayai bagi membincangkan usaha memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN).

Menurut sumber parti seperti dilaporkan sebuah portal berita hari ini, pertemuan itu bagi mencari 'persamaan' dalam membincangkan isu berbangkit, khususnya sebagai persiapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Pertemuan itu tidak menyentuh soal agihan kerusi, sebaliknya perkara-perkara teknikal membabitkan usaha mendaftar PN secara rasmi. Ia mencari titik persamaan antara parti-parti yang kini dalam usaha memperkukuhkan PN dan juga menghadapi PRU15.

"Pertemuan ini bukan bermakna kita terus setuju untuk membentuk PN secara rasmi, sebaliknya banyak perkara masih perlu diperhalusi," kata sumber terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN - Muafakat Nasional terbuka berbincang dengan Bersatu: Annuar

Semalam, media melaporkan kenyataan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Annuar Musa bahawa pertemuan yang dijadualkan berlangsung malam tadi terpaksa dibatalkan dan ditangguhkan ke hujung minggu ini.

Bagaimanapun, sumber yang juga pemimpin salah satu parti politik yang terlibat dalam rundingan berkenaan memaklumkan bahawa pertemuan itu diadakan tanpa pengetahuan pihak media.

ARTIKEL BERKAITAN - Mesyuarat Sekretariat Muafakat Nasional, Selasa ini

UMNO dan Pas yang membentuk Muafakat Nasional sebelum ini menjalinkan kerjasama dengan Bersatu bagi membentuk kerajaan PN.

Kerajaan PN dibentuk selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) apabila Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertindak membawa parti itu keluar PH, disusuli dengan tindakan sekumpulan ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) diketuai mantan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang bertindak keluar parti.

Sementara itu, sumber berkata, hasil pertemuan berkenaan yang membabitkan 'jawatankuasa rundingan' itu akan dibentang dalam mesyuarat parti masing- masing.

Artikel Berkaitan: