X

Kindly register in order to view this article
!

Penerbit tempatan kurang yakin tayang filem di pawagam: PFM

Penggiat seni tempatan masih belum mempunyai keyakinan untuk menayangkan filem mereka meskipun pawagam telah dibenarkan beroperasi mulai hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Penggiat seni tempatan masih belum mempunyai keyakinan untuk menayangkan filem mereka meskipun pawagam telah dibenarkan beroperasi mulai hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Zahrin Aris, yang juga Setiausaha Kehormat PFM, berkata kerisauan itu wujud akibat kemungkinan tidak mendapat pulangan kutipan yang disasarkan.

“Setakat ini, hanya filem Roh yang dijadualkan ditayangkan pada 6 Ogos diikuti dua filem lain pada September. Kebiasaannya purata filem tempatan yang ditayangkan adalah enam filem sebulan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Katanya biarpun saranan kerajaan mengenai prosedur operasi standard (SOP) pembukaan pawagam dipatuhi oleh para penerbit, namun perkara itu masih menggugat ‘keberanian’ penerbit untuk mengambil risiko, lebih-lebih lagi sekiranya ia melibatkan pelaburan tinggi.

Kerajaan pada 22 Jun lepas bersetuju membenarkan aktiviti menonton wayang, teater dan acara secara langsung bermula hari ini, dengan SOP yang ketat iaitu aktiviti itu tidak boleh melebihi 250 individu bagi setiap pertunjukan dan tertakluk kepada kapasiti dewan.

Menurut Zahrin, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, penggiat industri turut mencari alternatif lain dengan menayangkan filem mereka menerusi saluran televisyen berbayar dalam negara.

“Terdapat empat filem yang berjaya ditayangkan dan difahamkan satu daripada filem tersebut mendapat kutipan tinggi. PFM juga sedang dalam proses meminta pertimbangan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk memberi kelulusan agar kesemua filem ini disiarkan semula di pawagam,” katanya.

Beliau berkata, satu perbincangan diadakan bersama Finas serta permohonan mewujudkan insentif khas dari segi promosi dan bantuan pemasaran kepada pemain industri yang terjejas namun setakat ini belum ada sebarang maklum balas berkaitannya.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Finas (Kandungan Bahasa Tamil & Pasaran India) R. Denes Kumar berkata pembukaan pawagam ini dilihat sebagai satu solusi oleh kerajaan bagi membantu penggiat filem tempatan.

“Namun apa yang perlu difahami, kita terikat dengan SOP ketat dan kesemua arahan yang diterima (pawagam dan pemain industri) adalah berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan. Ini adalah kebiasaan baharu yang perlu dipatuhi oleh semua,” katanya.

Denes Kumar berkata, Finas kini dalam proses meluluskan permohonan Dana Kandungan Digital (DKD) yang dimohon pemain industri sebelum ini.

Dalam pada itu, pawagam dilihat bersedia menerima penonton dengan aktiviti disinfeksi telah dilakukan, tidak kurang pelbagai promosi tiket dan makanan diberikan.

TGV Cinemas dalam hantaran Facebooknya turut memuat naik video berdurasi 45 saat yang menerangkan SOP yang perlu dipatuhi oleh penonton.

GSCinemas juga mengambil langkah sama dengan penerangan SOP menerusi video, selain menawarkan promosi parkir percuma di dua pawagamnya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus