Yakin komitmen perantau pulang mengundi Sabtu ini

Mohd Sharim melihat produk tenunan yang dihasilkan di Pusat Tenun Pahang Diraja Felda, Pekan hari ini.
Mohd Sharim melihat produk tenunan yang dihasilkan di Pusat Tenun Pahang Diraja Felda, Pekan hari ini.
A
A
A

PEKAN - Calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Mohd Sharim Md Zain menerima maklum balas positif daripada perantau yang memberi komitmen untuk pulang mengundi pada Sabtu ini.

Menurutnya, maklum balas berkenaan diperoleh menerusi perjumpaan bersama pengundi luar diadakan di Kuantan malam tadi.

"Kita berpuas hati dan mendapat maklum balas positif hasil perjumpaan pengundi luar di Kuantan malam tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: PRK DUN Chini: Perantau digesa balik mengundi

"Diharapkan pengundi luar akan pulang dan memberi undi kepada BN," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pusat Tenun Pahang Diraja Felda di sini hari ini.

Seramai kira-kira 8,000 pengundi luar daripada 20,990 pengundi dalam daftar pemilih DUN Chini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menggesa perantau pulang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada hari mengundi PRK DUN Chini.

Dalam perkembangan sama, Mohd Sharim turut menghargai sokongan Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggerakkan jentera serta akar umbi parti itu bagi memastikan kemenangannya pada PRK DUN Chini.

Artikel Berkaitan:

"Sokongan itu menyuntik semangat saya untuk berkhidmat kepada rakyat di DUN Chini sekiranya diberi mandat.

"Pastinya melalui sokongan kerajaan Perikatan Nasional ini, saya percaya kawasan di Chini ini akan diberi perhatian sewajarnya demi kepentingan rakyat di sini," katanya.