Guna kod QR untuk sahkan ketulenan dokumen mahkamah

Pengguna yang ingin mengesahkan ketulenan dokumen mahkamah boleh mengimbas kod QR dipaparkan menggunakan peranti elektronik mempunyai fungsi imbasan. - Foto 123RF
Pengguna yang ingin mengesahkan ketulenan dokumen mahkamah boleh mengimbas kod QR dipaparkan menggunakan peranti elektronik mempunyai fungsi imbasan. - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Semua dokumen mahkamah yang dijana dan difailkan melalui sistem e-Kehakiman akan dipaparkan dengan sistem imbasan kod respons pantas (QR) bagi mengelak orang awam diperdaya dengan dokumen palsu yang didakwa dikeluarkan mahkamah.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP), dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengguna yang ingin mengesahkan ketulenan dokumen tersebut boleh mengimbas kod QR dipaparkan menggunakan peranti elektronik mempunyai fungsi imbasan.

PKPMP menyebut sistem imbasan kod QR itu disediakan di 22 lokasi mahkamah di Semenanjung Malaysia antaranya Mahkamah Kuala Lumpur, Shah Alam, Selayang, Klang, George Town, Butterworth dan Johor Bahru.

Selain itu, terdapat juga di mahkamah Muar, Ipoh, Taiping, Putrajaya, Kangar, Alor Setar, Sungai Petani, Melaka, Seremban, Kuantan, Temerloh, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Langkawi dan Mahkamah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

PKPMP berkata, pihaknya menerima banyak aduan mengenai penipuan menggunakan nama dan dokumen mahkamah dan makluman mengenai penipuan sebegitu sudah diuar-uarkan kepada orang awam, namun masih ada yang tertipu.

Menurutnya, insiatif itu juga dapat membantu institusi perbankan, Pejabat Tanah dan Galian, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun dan pihak lain mengambil tindakan terhadap dokumen mahkamah yang diserahkan kepada mereka dengan segera tanpa meragui ketulenan dokumen tersebut.

Menurut PKPMP, sistem imbasan kod QR selamat kerana pengguna akan dibawa ke pautan laman sesawang kerajaan yang diiktiraf dan ia juga dapat menjimatkan masa dan kos semua pihak dalam menentukan ketulenan sesuatu dokumen mahkamah. - Bernama

Artikel Berkaitan: