PRK DUN Chini bawa rahmat kepada penduduk

Zaid Sidek
Zaid Sidek
A
A
A

PEKAN - Penduduk tanah rancangan Felda di sini menyifatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini sebagai satu rahmat buat mereka.

Mereka mendakwa, kempen yang berlangsung ketika ini membantu merancakkan ekonomi penduduk setempat.

Ketua Peneroka Felda Wilayah Chini dan Kuantan, Zaid Sidek, 57, berkata, sejak 20 Jun lalu, kawasan Felda itu menjadi tumpuan ramai, bahkan banyak isu setempat sudah hampir diselesaikan.

Dari segi ekonomi, katanya, ia juga memberi kesan positif terutama kepada pengusaha rumah tumpangan, hotel dan gerai makan.

Bagaimanapun, katanya, wakil rakyat yang menang nanti perlulah menjaga sensitiviti orang lama khususnya generasi pertama peneroka.

"Rakyat Chini sudah bersedia untuk mengundi. Saya yakin pengundi Chini sudah ada calon pilihan yang mereka undi nanti," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Zaid turut mengharapkan pengundi membuat persediaan rapi semasa mengundi dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Jaga kesihatan dan amalkan langkah pencegahan Covid-19 semasa keluar mengundi nanti. Kita bekerjasama bantu mempermudahkan urusan pihak yang bertugas semasa PRK nanti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nor Amanina Embong
Nor Amanina Embong

Sementara itu, pengusaha syarikat Salmah Travel Agency, Nor Amanina Embong, 28, berkata, hotel yang diusahakan ibunya sejak 20 tahun lalu mendapat sambutan begitu menggalakkan.

"Alhamdulillah, banyak rezeki masuk. Bilik penginapan tak henti-henti mendapat tempahan secara kontrak dan harian berbanding musim awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

"Hikmah PRK ini memberi nafas semula kepada perniagaan seperti ini," katanya yang merupakan penduduk Chini 1 di sini.

Zairul Asmadi, (kiri) dan Rostam Jamaluddin
Zairul Asmadi, (kiri) dan Rostam Jamaluddin

Bagi penduduk Chini 2, Datuk Zairul Asmadi Mohd Sabies, 44, berkata, beliau berharap calon yang menang nanti dapat menyambung kesinambungan wakil rakyat terdahulu, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun serta membawa perubahan besar kepada Chini.

"Saya meminta penduduk Chini untuk keluar mengundi 4 Julai ini. Penduduk yang tinggal di luar diharap dapat balik kampung dan penduduk di sini dapat keluar tunaikan kewajipan sebagai rakyat Malaysia," katanya.

Seorang lagi penduduk, Rostam Jamaluddin @ Pak Tam Ais, 51, dari Taman Lamanda Chini berkata, walaupun pada permulaan kempen nampak agak perlahan, namun ia berubah selepas selepas 12 hari kempen berlangsung.

"Jentera parti bertanding sudah mula pasang bendera dan kain rentang kempen. Barulah nampak meriah dan rancak sekarang," katanya.