Mayat kanak-kanak lemas di Sungai Perak ditemui

Anggota bomba mengangkat mayat mangsa yang berjaya ditemui dalam operasi SAR hari ini. - Foto JBPM Perak
Anggota bomba mengangkat mayat mangsa yang berjaya ditemui dalam operasi SAR hari ini. - Foto JBPM Perak
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Kanak-kanak lelaki yang hanyut dibawa arus deras ketika mandi bersama keluarganya di Sungai Perak berhampiran Kampung Loh, Karai di sini semalam ditemukan lemas hari ini.

Mayat mangsa, Mohd Danish Irfan Mohd Baharudin, 6, ditemukan terapung oleh orang awam pada jam 10.08 pagi.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Penguasa Kanan Bomba 1 Mohamad Yunus Abu berkata, sebaik menerima maklumat itu, anggota bomba bergegas ke lokasi berkenaan.

"Mayat ditemui kira-kira empat kilometer dari lokasi terakhir kanak-kanak itu hilang semalam.

"Anggota bomba kemudiannya membawa mayat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Mohamad Yunus memaklumkan seramai 35 anggota terdiri daripada bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam dan orang awam digerakkan pada jam 8 pagi selepas ditangguhkan sementara semalam.

Gerakan mencari turut melibatkan enam bot milik pelbagai agensi.

Dalam kejadian sekitar jam 2 petang semalam, mangsa mandi bersama kembar dan kakaknya dan dua kanak-kanak lain sambil ditemani ibu saudaranya sebelum dihanyutkan arus deras.

ARTIKEL BERKAITAN ‘Dia sempat peluk dan cium saya'

Artikel Berkaitan: