X

Kindly register in order to view this article
!

Lebih 600 polis bertugas pada hari pengundian

PRK DUN Chini
A
A

PEKAN - Lebih 600 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditugaskan bagi memastikan kelancaran Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini Sabtu ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, bagi melancarkan proses pengundian yang melibatkan normal baharu dan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) berikutan masih wujud ancaman Covid-19, kesemua mereka diberikan latihan pengendalian.

Menurutnya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan mengadakan penugasan di empat peringkat iaitu pada hari penamaan calon, semasa berkempen, hari pengundian serta penjumlahan dan pengumuman keputusan pilihan raya.

“Semasa tempoh berkempen PRK ini, kita menyediakan lebih 400 anggota polis dan semasa mengundi pula kita sediakan lebih 600 anggota untuk membantu memastikan SOP pilihan raya ini dipatuh,” katanya selepas program Ziarah Kasih ke tiga buah rumah asnaf di sekitar Felda Chini 2, di sini hari ini.

Katanya, mesyuarat penugasan PRK DUN Chini yang melibatkan PDRM, Kementerian Kesihatan (KKM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melihat kepada gerak kerja, yang antara lain tertumpu kepada aspek pematuhan SOP, kelancaran trafik dan keselamatan awam.

"Pihak media turut diberi taklimat mengenai garis panduan liputan sepanjang hari pengundian nanti," katanya.

PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon Bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

PRK DUN Chini diadakan bagi merebut kekosongan kerusi ditinggalkan Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, yang meninggal dunia akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas pada 7 Mei lepas.

Seramai 20,990 pengundi PRK DUN Chini direkodkan dalam daftar pemilih dan DUN Chini yang juga satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan adalah kawasan pertama mengadakan PRK selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!