Guan Eng beri keterangan prosiding taksir ganti rugi saman Raja Petra

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng akan memberi keterangan pada prosiding menaksir jumlah ganti rugi saman fitnah beliau terhadap penulis blog Raja Petra Raja Kamarudin berhubung dakwaan rasuah dalam projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion.

Peguamnya, Simon Murali memberitahu pemberita, pentaksiran jumlah ganti rugi itu susulan penghakiman ingkar yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi kepada Guan Eng pada 28 Februari.

“Mahkamah menetapkan 21 Ogos ini untuk pendengaran dan kami memaklumkan mahkamah yang setakat ini hanya seorang saksi pihak plaintif akan memberi keterangan iaitu Guan Eng sendiri,” katanya selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Datin Rohani Ismail di dalam kamar hari ini.

Pada 28 Februari, Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang memperoleh penghakiman ingkar selepas Raja Petra tidak menentang saman berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN:Isu terowong: Guan Eng menang saman Raja Petra

Guan Eng memfailkan saman fitnah pada 6 September tahun lepas berhubung satu siri artikel 'Dari Fail SPRM' yang disiarkan dalam kedua-dua versi bahasa Inggeris dan Melayu oleh portal Malaysia Today kepunyaan Raja Petra antara 24 Februari hingga 15 Mac 2019.

Artikel-artikel yang didakwa berunsur fitnah itu adalah berkaitan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah dalam projek infrastruktur berkenaan.

Guan Eng menuntut ganti rugi teladan atas alasan Raja Petra telah mendapat keuntungan daripada jumlah pembaca yang ramai bagi kesemua artikel.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga menuntut permohonan maaf di halaman muka depan akhbar dan satu perintah injunksi untuk menghalang bloger itu daripada mengulangi dakwaannya.

Setiausaha Agung DAP itu memfailkan permohonan bagi mendapatkan penghakiman ingkar selepas Raja Petra gagal memberikan maklum balas terhadap notis saman yang diiklankan Guan Eng melalui tiga akhbar pada 10 Februari tahun ini.

Sebelum itu, Guan Eng cuba menyerahkan writ saman dan penyataan tuntutan kepada Raja Petra melalui perkhidmatan peribadi di alamat terakhirnya yang diperoleh daripada Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya namun gagal. - Bernama