Penganggur mengaku bersalah hina polis di Facebook

Seorang penganggur mengaku bersalah atas pertuduhan menghantar komunikasi jelik dan menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi akaun Facebook miliknya April lepas.
Seorang penganggur mengaku bersalah atas pertuduhan menghantar komunikasi jelik dan menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi akaun Facebook miliknya April lepas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menghantar komunikasi jelik dan menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi akaun Facebook miliknya April lepas.

Mohammad Shahrizal Md Shah Rudin, 30, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy.

Mahkamah menetapkan 14 Julai ini untuk menjatuhkan hukuman dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta OKS dilarang membuat apa-apa hantaran berkaitan kes di laman sosialnya.

Lelaki itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan satu hantaran yang menghina PDRM menggunakan akaun Facebook miliknya iaitu ‘Riz Mhmd’ dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu pada 8 malam, 28 April lepas mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya.

Hantaran itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini pada 12.45 tengah hari, 30 April lepas.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum dengan alasan dia sudah insaf dan menyesal atas perbuatannya.

“Saya telah kehilangan kerja dan saya menjaga ibu bapa yang berusia lebih 60 tahun... Saya juga telah memberi kerjasama penuh kepada pihak polis,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pendakwa Raya Annur Atiqah Abd Hadi memohon hukuman berbentuk pengajaran kepada OKS kerana tindakannya mencetuskan kemarahan masyarakat.

"Hukuman berbentuk pengajaran boleh menjadi contoh kepada semua rakyat Malaysia supaya lebih sensitif dan berhati-hati menyuarakan pendapat menerusi media sosial.

“Pihak PDRM adalah ‘frontliner’ yang bersusah payah dan bertungkus-lumus dalam membendung pandemik Covid-19 yang melanda negara ini, seharusnya mereka disanjung atas pengorbanan mereka... Hantaran OKS boleh mematahkan semangat dan mengguris hati anggota-anggota yang berkorban ini,” katanya.