Semua surau, masjid di Selangor dibenarkan solat Jumaat, fardu

Semua masjid dan surau di Selangor dibenarkan dibuka semula untuk solat fardu lima waktu secara berjemaah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. - Foto 123RF
Semua masjid dan surau di Selangor dibenarkan dibuka semula untuk solat fardu lima waktu secara berjemaah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan semua masjid dan surau yang diberi kebenaran menganjurkan solat Jumaat mendirikan solat itu berkuat kuasa 3 Julai ini.

Semua masjid dan surau juga dibenarkan dibuka semula untuk solat fardu lima waktu secara berjemaah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Sultan Selangor memberi perkenan tersebut setelah mendengar taklimat daripada Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Mufti Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkaitan kedudukan dan data terkini wabak Covid-19 di negeri ini.

"Mengambil maklum perkembangan terbaru wabak Covid-19, Sultan Selangor berkenan semua masjid dan surau kebenaran Jumaat dibuka namun mengikut jumlah dan bilangan jemaah yang ditetapkan," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, jumlah kehadiran jemaah bagi solat Jumaat dan solat fardu di tiga masjid iaitu Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam; Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya ditetapkan 1,000 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid.

Jumlah kehadiran jemaah bagi solat Jumaat dan solat fardu di semua masjid lain ditetapkan maksimum 500 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid, tertakluk kepada kapasiti rumah ibadah berkenaan.

"Jumlah kehadiran jemaah di surau kebenaran solat Jumaat bagi mendirikan solat itu dan solat fardu ditetapkan 40 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa surau," katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, Sultan Selangor turut bertitah ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha hanya boleh dilaksanakan di masjid.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, bagi surau yang telah merancang melakukan ibadah korban, boleh melaksanakannya di masjid berdekatan.

"Segala pelaksanaan dan urusan pentadbiran secara terperinci berkaitan titah Sultan Selangor ini akan dikeluarkan oleh Pengarah JAIS serta jawatankuasa masjid dan surau yang berkaitan," katanya.

Menurutnya lagi, Sultan Selangor akan sentiasa mengikuti perkembangan serta pematuhannya dari semasa ke semasa sebelum membuat sebarang pertimbangan selanjutnya bagi menentukan jumlah kehadiran jemaah di masjid dan surau di Selangor.