Tragedi bot terbalik: SAR hari ketiga disambung 6 pagi tadi

Anggota Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Kelantan melakukan selaman untuk mencari mangsa bot karam yang masih hilang di Muara Kuala Kemasin, semalam. - Foto Bernama
Anggota Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Kelantan melakukan selaman untuk mencari mangsa bot karam yang masih hilang di Muara Kuala Kemasin, semalam. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Operasi mencari dan menyelamat tiga mangsa yang dikhuatiri lemas dalam tragedi bot terbalik Isnin lalu, kira-kira 12.6 batu nautika dari Jeti Pengkalan Kuala Kemasin, Bachok, disambung semula pada jam 6 pagi tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, pencarian yang masuk hari ketiga hari ini akan diperluaskan ke radius 324 batu nautika persegi dari tempat bot tersebut ditemukan.

"Pencarian hari ini akan ditingkatkan lagi dan APMM telah menggariskan sektor-sektor tertentu bagi memudahkan pencarian oleh pasukan SAR.

"Kita juga telah meminta bantuan daripada agensi penyelamat Thailand untuk melakukan pencarian dalam kawasan negara tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata, pasukan SAR akan menggunakan beberapa bot serta sebuah pesawat Bombardier milik APMM dalam usaha pencarian tiga lagi mangsa yang belum ditemukan iaitu Arman Ismail, 43, Harun Daud, 60-an dan Che Wadi Bakar, 40-an.

Setakat ini, lima mangsa yang meninggal dunia telah ditemukan sejak operasi SAR dilancarkan iaitu Mohd Syahrizan Daud, 40-an, Muhamad Zaki Muhamad Nordin, 19, Wan Aminudin Wan Hussin, 60-an, seorang warga Thailand yang hanya dikenali sebagai Pokta, 50-an dan Ahmad Syafiq Che Alim, 30.

Sementara itu, 12 daripada 20 mangsa pula selamat dalam kejadian tersebut, dengan kesemua mangsa berusia antara 18 hingga 60 tahun. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: 'Umpama menunggu malaikat maut cabut nyawa'

Artikel Berkaitan:

'Pengalaman paling menakutkan 30 tahun jadi tekong'