Pencalonan Shafie perlu diputuskan dalam Majlis Presiden PH, kata DAP

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan menamakan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri untuk mengembalikan mandat rakyat dan membolehkan Pakatan Harapan (PH) Plus membentuk semula kerajaan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) Parti Tindakan Demokratik (DAP) malam ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, CEC menegaskan pendirian bahawa kedudukan PH perlu diperkukuhkan dan pada masa sama, PH juga perlu bekerjasama dengan semua parti yang komited untuk menentang Perikatan Nasional.

"CEC mengambil maklum bahawa cadangan pencalonan itu adalah bersejarah kerana melibatkan seorang pemimpin dari Malaysia Timur dipertimbangkan buat julung kalinya.

"Setelah mengambil pandangan daripada semua ahli CEC yang hadir, mesyuarat memutuskan bahawa cadangan ini perlu diputuskan bersama di dalam mesyuarat Majlis Presiden PH," katanya dalam kenyataannya malam ini.

Guan Eng berkata, CEC mengambil pendirian bahawa perkara itu adalah sangat penting dan Majlis Presiden PH perlu bermesyuarat dalam kadar segera sebelum persidangan Parlimen bermula pada 13 Julai 2020.

"CEC juga menyokong supaya Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming dikekalkan dalam jawatan mereka," katanya lagi.

Artikel Berkaitan: