Sudah 40 peratus ibu bapa pakai CRS

Orang ramai perlu membeli kerusi keselamatan kanak-kanak yang mematuhi standard ditetapkan.
Orang ramai perlu membeli kerusi keselamatan kanak-kanak yang mematuhi standard ditetapkan.
A
A
A

SHAH ALAM- [LAPORAN KHAS] Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) akan meneruskan peranannya dalam memastikan kesedaran pengguna terhadap kepentingan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) walaupun penguatkuasaan saman peraturan itu ditangguhkan ke suatu tarikh yang belum dipastikan.

Ketua Pengarahnya, Dr Khairil Anwar Abu Kassim menegaskan, pada ketika ini Miros merekodkan 40 peratus penggunaan CRS dalam kalangan pengguna jalan raya.

Katanya, perkara pertama yang Miros akan teruskan adalah memastikan kerusi keselamatan yang dijual mematuhi standard ditetapkan.

“Pelan asalnya adalah pada 1 Julai tetapi belum ada lagi kata putus daripada pihak kementerian. Bagi pihak Miros, promosi ataupun gerak kerja kita masih berada pada tahap yang sama.

“Maksudnya, kalau boleh kita nak pastikan kerusi keselamatan kanak-kanak yang dijual itu sudah melalui proses ujian standard.

“Bila pembekal nak jual, mereka perlu hantar ke Miros dahulu untuk dinilai.

“Setakat ini, 80 peratus pembekal di Malaysia sudah menemui Miros.

“Kita siapkan dulu bekalan sebanyak mungkin dan kalau boleh 90 peratus ke atas. Produk yang rakyat beli itu pula mesti selamat dipakai,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Artikel Berkaitan:

Bermula 1 Januari lalu, kerajaan mewajibkan penggunaan CRS di dalam kenderaan bagi menyelamatkan kanak-kanak daripada mengalami kecederaan serius atau kematian sekiranya berlaku kemalangan.

Miros menggariskan klasifikasi pembelian CRS haruslah berdasarkan piawaian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu Peraturan 44 dan 129.

Mengikut peraturan itu, kanak-kanak di bawah ketinggian 135 sentimeter (sm) dan berat kurang 36 kilogram (kg) perlu menggunakan CRS.

DR KHAIRIL ANWAR
DR KHAIRIL ANWAR

Selain itu, penggunaan kerusi itu perlu mengikut empat kategori iaitu 0 atau 0+ (jenis menghadap belakang) dan kategori 1, 2 dan 3 (jenis menghadap hadapan).CRS terbabit juga perlu mematuhi kelulusan Peraturan 44 (UN R44) atau 129 PBB (R129) dan dilengkapi pelekat ‘E-marking’ serta label PBB berwarna jingga.

Label jingga itu mengandungi maklumat seperti kategori kerusi keselamatan untuk kanak-kanak, had berat serta tinggi dan nombor kelulusan PBB.

Khairil Anwar menambah, perkara kedua yang akan dilakukan Miros adalah terus mempromosikan CRS.

“Kalau kita tengok di kampung-kampung, sudah banyak yang pakai CRS kerana harga kerusi itu berpatutan.

“Kita nak jadikan pemakaiannya sebagai satu trend. Kalau mereka sayangi anak-anak, mereka perlu menggunakannya.

“Kita faham, masyarakat di Malaysia ini ada yang mempunyai bilangan anak lima, enam orang. Kerajaan sudah tetapkan bahawa kita kena utamakan anak mana yang lebih memerlukan,” katanya.

Dalam pada itu, Khairil Anwar berkata, pihaknya akan bertemu Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong pada September nanti untuk membincangkan semula pelaksanaan dan penguatkuasaan CRS.

“Kita sebenarnya sudah berjumpa dengan menteri. Cuma perkara melibatkan CRS belum dibincangkan secara lanjut.

“Sekarang apa yang menteri mahukan adalah penggunaan tali pinggang belakang sebab ketika ini pengguna kurang memakainya,” katanya.