CRS: JPJ tunggu arahan baharu Kementerian Pengangkutan

Kerusi keselamatan kanak-kanak mempunyai beberapa kategori mengikut kesesuaian usia, berat dan tinggi si kecil. - Gambar hiasan.
Kerusi keselamatan kanak-kanak mempunyai beberapa kategori mengikut kesesuaian usia, berat dan tinggi si kecil. - Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM- [LAPORAN KHAS] Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menunggu arahan baharu daripada Kementerian Pengangkutan bagi menguatkuasakan tindakan saman atau kompaun terhadap pengguna kenderaan persendirian yang tidak memakaikan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) buat anak-anak mereka.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, setakat ini JPJ akan memainkan peranan sedia ada dalam usaha memberi didikan kepada pengguna berhubung kepentingan penggunaan CRS.

“Sekarang kita berdepan dengan ancaman Covid-19 sejak bulan Mac lalu dan kita sedang melalui fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 31 Ogos nanti.

“Disebabkan itu, penguatkuasaan penggunaan CRS juga ditangguh sehingga mendapat arahan baharu,” katanya kepada Sinar Harian.

SHAHARUDDIN KHALID
SHAHARUDDIN KHALID

Mengulas lanjut, Shaharuddin berkata, JPJ akan berbincang semula dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) serta Kementerian Pengangkutan di bawah Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong.

“Kita akan berbincang semula. Kita tidak tahu apa perbincangan itu sebab ia melibatkan pihak lain. Bukan kami sahaja tetapi melibatkan Miros dan pihak kementerian.

“Dari pihak JPJ, kita telah bersedia. Tugas kami adalah untuk menguatkuasakan peraturan itu. Cumanya kita kena tunggu arahan baharu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 23 Januari lalu, Shaharuddin menjelaskan sebanyak 525 notis advokasi dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya yang membawa penumpang kanak-kanak tanpa CRS sejak 1 Januari.

Katanya, notis advokasi tersebut adalah sebagai statistik bagi pihaknya untuk melihat bilangan pemandu yang tidak menggunakan CRS di dalam kenderaan.