X

Kindly register in order to view this article
!

Taman Tasik Titiwangsa dibuka Sabtu ini

Aktiviti joging dan riadah ringan dibenarkan di Taman Tasik Titiwangsa.
A
A

KUALA LUMPUR - Taman Tasik Titiwangsa kembali dibuka kepada orang awam bermula Sabtu ini.

Unit Media Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi satu kenyataan memaklumkan, kawasan riadah itu akan dibuka setiap hari bermula jam 7 pagi hingga 7 petang dengan aktiviti yang dihadkan sebagai langkah pencegahan koronavirus (Covid-19).

"Pembukaan taman ini terhad kepada aktiviti berjoging dan rekreasi ringan sahaja. Aktiviti berbasikal dibenarkan, namun terhad kepada milik persendirian di mana aktiviti sewa basikal masih tidak dibenarkan.

"Aktiviti berkumpulan seperti berkelah, berhimpun (keraian) dan sukan berpasukan adalah ditegah," kata kenyataan itu.

Katanya, tempahan bagi penggunaan astaka, kawasan lapang, padang bola dan dataran masih ditutup.

"Begitu juga dengan fasiliti lain seperti taman permainan kanak-kanak, kawasan permainan taman air dan alat senam masih belum dibuka.

"Penggunaan tandas awam dan surau dibenarkan, namun pengguna perlu membawa sejadah dan telekung sendiri," katanya.

Kawasan permainan taman air di Taman Tasik Titiwangsa masih ditutup sebagai langkah pencegahan Covid-19.
Kawasan permainan taman air di Taman Tasik Titiwangsa masih ditutup sebagai langkah pencegahan Covid-19.

DBKL mengingatkan orang awam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta membiasakan amalan normal baharu.

"Pengunjung dinasihatkan membawa telefon pintar bagi memudahkan merekod kemasukan menggunakan QR kod MySejahtera atau KLStep yang disediakan di pintu masuk.

"Selain itu, amalkan penjarakan sosial, kebersihan kendiri ketika berkunjung di Taman Tasik Titiwangsa," katanya.

Terdahulu, Taman Tasik Titiwangsa ditutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu sebelum dibuka semula pada 4 Mei lalu.

Bagaimanapun, pada 28 Mei lalu taman awam itu kembali ditutup sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19 selepas jumlah pengunjung yang semakin ramai di kawasan itu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus