Bincang hala tuju Sukan SEA 2021

Mohamad Norza
Mohamad Norza
A
A
A

KEPUTUSAN mengenai jumlah acara dan venue pertandingan Sukan SEA 2021 di Vietnam dijangka diketahui selepas mesyuarat secara maya melibatkan 11 ahli gabungan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) pada 22 Julai ini.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, mesyuarat itu akan membincangkan hala tuju menyeluruh mengenai penganjuran temasya sukan dwitahunan berkenaan.

“Saya tidak fikir penularan pandemik koronavirus (Covid -19) akan menyaksikan Vietnam mengamalkan kaedah yang lebih konservatif dan berjimat dalam penganjuran Sukan SEA pada tahun hadapan.

“Kita bersama Majlis Sukan Negara akan duduk berbincang mengenai jenis acara sukan yang akan kita pertahankan, walaupun pihak tuan rumah sudah mempunyai perancangan tersendiri (mengenai jumlah acara yang bakal dipertandingkan),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM ke-20 di Wisma OCM di sini, hari ini.

Sebanyak 56 acara dipertandingkan pada edisi ke-30 di Filipina tahun lepas, dengan Malaysia menduduki tangga kelima daripada 11 negara bertanding dengan mengumpul 56 emas, 58 perak dan 71 gangsa.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Norza memaklumkan badan induk itu bersetuju membentuk sebuah pasukan petugas bagi menilai semula artikel dalam perlembagaan MOM yang perlu dipinda.

Beliau menjelaskan hasil cadangan pasukan petugas berkenaan, yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden MOM, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, akan dibentangkan kepada ahli Lembaga Eksekutif MOM untuk tindakan susulan. - Bernama

Artikel Berkaitan: