X

Kindly register in order to view this article
!

Virus selesema babi G4 berpotensi cetus pandemik

Virus baharu digelar G4 itu didakwa secara genetik berasal daripada virus H1N1 yang menyebabkan pandemik pada 2009. - Foto Agensi
A
A

BEIJING - Penyelidik di China telah menemui jenis selesema babi baharu yang berupaya mencetuskan pandemik, menurut kajian diterbitkan jurnal sains Amerika Syarikat, PNAS kelmarin.

Ia digelar sebagai G4 dan secara genetik berasal daripada virus H1N1 pada 2009.

“Virus tersebut mempunyai ciri penting yang boleh menjangkiti manusia,” kata saintis di universiti di Beijing dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) China.

Bermula 2011 hingga 2018, penyelidik mengambil 30,000 sampel swab daripada khinzir di pusat penyembelihan di 10 wilayah dan hospital veterinar yang membolehkan mereka mengasingkan 179 virus selesema babi.

Berdasarkan keputusan ujian darah, sebanyak 10.4 peratus pekerja di premis tersebut dan 4.4 peratus populasi awam dijangkiti.

Kajian itu jelas membuktikan virus itu boleh disebarkan daripada haiwan kepada manusia, namun tiada bukti jelas menunjukkan boleh berlaku penyebaran antara manusia yang kini menjadi kebimbangan utama saintis.

Susulan itu, penyelidik terbabit meminta langkah segera diambil untuk memantau pekerja yang terlibat dengan ternakan atau pusat penyembelihan khinzir.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan ia akan meneliti kajian tentang virus G4 tersebut dan turut menyifatkan penemuan itu menekankan kepentingan untuk sentiasa mengawai influenza ketika ancaman Covid-19 belum reda. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus