Tiga faktor sebelum bubar Parlimen

A
A
A

Sekurang-kurangnya selama 120 hari iaitu semenjak Tan Sri Muhyiddin Yassin diumumkan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pihak pembangkang mencuba sedaya mungkin untuk menolak dan menafikan pemilihan itu.

Sungguhpun reputasi PM8 yang kini dikenali sebagai ‘Abah’ telah mula terbina dalam kalangan rakyat terbanyak terutama apabila beliau dengan baik sekali mengetuai rakyat Malaysia dalam menghadapi cabaran semasa Covid-19 dan ekonomi yang tergugat.

Pelbagai gelaran dan nama diberikan kepada pemerintah bertujuan untuk menimbulkan keraguan dan kebencian. Dengan harapan bahawa rakyat keseluruhan bersama mereka dalam menafikan keputusan Yang di-Pertuan Agong itu.

Akhir-akhir ini, terdapat beberapa suara yang mencadangkan agar Parlimen dibubarkan segera bagi memberi laluan kepada pilihan raya untuk membolehkan rakyat memilih semula kerajaan mereka.

Penulis berpendapat bahawa pilihan raya adalah merupakan jalan terakhir yang perlu diambil sekiranya faktor-faktor berikut tidak lagi dapat ditangani iaitu pertama, serangan bertubi-tubi oleh pembangkang terutama pihak Pakatan Harapan secara horse trading atau jual beli dan tarik tali dalam kalangan ahli-ahli Parlimen bagi memusnahkan kerajaan yang telah terbentuk.

Mereka seolah-olah tidak lagi mengambil kira nilai-nilai yang diperjuangkan sebelum ini dan lebih memilih untuk berpolitik serta merangkul kuasa sebagaimana boleh.

Lebih serius apabila punca kejatuhan kerajaan PH iaitu perebutan kuasa untuk menjadi Perdana Menteri di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal menjadi isu utama dalam usaha rampas kuasa itu.

Kedua, jumlah majoriti yang amat kecil di pihak kerajaan membuka ruang-ruang spekulasi dan persepsi yang tidak baik kepada sebuah kerajaan. Cetusan oleh Anwar yang kononnya sudah memperoleh 129 sokongan ahli Parlimen telah menyebabkan berlakunya trust deficit dalam kalangan mereka. Kesetiaan dan setiakawan menjadi taruhan dengan pelbagai ungkapan sinis dan hinaan terkeluar daripada pelbagai pihak.

Artikel Berkaitan:

Pencapaian

Ketiga, tuduhan dengan gelaran sebagai ‘kerajaan tebuk atap’ dan ‘kerajaan tanpa mandat rakyat’ akan menghakis keyakinan komuniti pelaburan dalam dan luar negara sekali gus menyukarkan usaha memulihkan ekonomi negara, malah merencatkan pelaksanaan dasar-dasar penting untuk rakyat.

Sedangkan dalam tempoh 120 hari ini, pihak kerajaan telah berjaya melakukan beberapa pencapaian ketara kepada negara. Antaranya ialah sebagai (1) negara terbaik mengurus dan menangani wabak Covid-19, (2) pemulihan hubungan diplomatik antara negara dan (3) pelbagai suntikan ekonomi di dalam menjana kembali ekonomi negara.

Segala usaha itu boleh menjadi terbantut sedangkan kita sekarang berada pada landasan yang betul sebagai negara terawal dan terkehadapan dalam menangani isu Covid-19 ini.

Ketiga-tiga faktor itu perlu diambil kira dalam menentukan keperluan untuk menyerahkan kembali mandat kepada rakyat melalui pilihan raya. Ia perlu menjadi pilihan terakhir jika kerakusan dan ketamakan PH untuk kembali berkuasa tidak dapat dibendung.

Pun begitu, kerajaan yang ada perlu teguh dan tegas dalam menghadapi situasi semasa. Kesetiaan dan kesungguhan setiap lapisan masyarakat perlu tuntas tanpa berbelah bahagi walaupun sedikit dalam menjaga kemakmuran dan keamanan negara.

Mana-mana individu atau organisasi yang tidak bertanggungjawab dalam menjaga maruah negara perlu diambil tindakan tegas kerana negara ini mempunyai kerajaan. Dan kerajaan ini adalah kerajaan yang tahu menjaga maruah dan harga diri negara.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia