24 penguat kuasa disyaki dalang penyeludupan migran ditahan

Huzir
Huzir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 24 penguat kuasa terdiri daripada pegawai polis, anggota tentera dan pegawai imigresen yang disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan migran telah ditahan polis setakat ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) Sosma 2012 kerana disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan migran.

"Seramai 19 penguat kuasa ditahan di Johor membabitkan 14 pegawai polis dan lima anggota tentera.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga kumpulan sindiket seludup migran tumpas

"Tiga pegawai polis lagi ditahan di Perak dan dua pegawai imigresen di Pulau Pinang," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.

Menurutnya, pihaknya telah merekodkan 611 tangkapan melibatkan kegiatan penyeludupan migran sejak 1 Januari sehingga semalam.

"Daripada jumlah itu, seramai 539 orang disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan 72 orang lagi di bawah jenayah terancang," katanya.

Menurutnya, sebanyak 143 kertas siasatan telah dibuka melibatkan kes penyeludupan migran bagi tempoh sama.

Artikel Berkaitan:

"32 kertas siasatan melibatkan 82 suspek telah dituduh di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).

"Selain itu, 27 kertas siasatan membabitkan 60 tangkapan disiasat di bawah Akta Imigresen serta lain-lain seksyen kesalahan.

"Seterusnya, 30 kertas siasatan yang melibatkan 228 tangkapan telah dibebaskan dan baki 54 kertas siasatan membabitkan 241 tangkapan masih dalam siasatan," katanya.