Cadangan sistem dua syif hanya untuk klinik sesak

Cadangan perkhidmatan dua syif hanya akan dilaksana selepas mempertimbang kemampuan dan kapasiti staf.
Cadangan perkhidmatan dua syif hanya akan dilaksana selepas mempertimbang kemampuan dan kapasiti staf.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cadangan sistem perkhidmatan dua syif oleh Kementerian Kesihatan (KKM) hanya akan diguna pakai di kemudahan KKM yang sesak, menurut Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata, selain mengambil kira aspek bilangan pesakit yang menerima rawatan di kemudahan itu, cadangan berkenaan hanya akan dilaksana selepas mempertimbang kemampuan dan kapasiti staf.

Jelasnya, ia untuk meringankan beban kerja dihadapi kakitangan KKM memandangkan sebahagian daripada mereka yang bekerja di klinik terpaksa kerja lebih masa sehingga 10.00 malam.

“Memang betul kita beri mereka membuat tuntutan, tetapi masa bersama keluarga, masa untuk sendirian telah hilang.

“Selain itu, kita dapat melaksanakan penjarakan sosial kerana hari ini terlampau ramai pesakit dan ada sesetengah klinik yang mempunyai beberapa doktor di dalam sebuah bilik rawatan,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan cek Tabung koronavirus (Covid-19) Shopee MMA di sini, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Sistem syif di klinik kerajaan perlu kajian terperinci: MMA

Projek rintis klinik kesihatan dua syif dilaksanakan

Dr Noor Azmi berkata, KKM telah cuba melaksanakan sistem perkhidmatan dua syif di beberapa klinik yang sesak termasuk di Pahang dan Putrajaya dalam pertengahan bulan ini.

Artikel Berkaitan:

“Klinik-klinik yang dilaksanakan ini merupakan klinik yang melaksanakan kerja lebih masa. Mereka mengurangkan kerja lebih masa dan melaksanakan kerja mengikut syif. Setakat ini baik, tiada masalah dan mereka (kakitangan) melakukannya dengan baik.

“Saya yakin mereka juga gembira kerana ia telah mengurangkan beban kerja berbanding sebelum ini mereka terpaksa bekerja sehingga 10.00 malam,” katanya.

Mengulas mengenai pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah, Dr Noor Azmi berkata setakat ini tidak ada sebarang kes atau isu ketidakpatuhan di peringkat sekolah serta beliau menegaskan status quo akan diambil kira bagi memperketat SOP.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa agar tidak menghantar anak-anak yang bergejala ke taska atau tadika yang bakal mula beroperasi esok selain mematuhi SOP yang digariskan.

Sementara itu, Presiden Yayasan Persatuan Perubatan Malaysia (MMAF), Datuk R. Doraisingam Pillai berkata, sebanyak RM699,830 berjaya dikumpul menerusi sumbangan dalam talian melalui Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Shopee untuk pekerja penjagaan kesihatan barisan hadapan dalam menentang COVID-19.

Dilancarkan pada April lepas dengan kerjasama antara MMA, MMAF dan Shopee, jumlah itu menjadikan jumlah bantuan terkumpul kepada RM964,881.

“Semua sumbangan daripada tabung itu akan disalurkan melalui MMAF untuk kesejahteraan dan keperluan petugas barisan hadapan yang terjejas oleh pandemik COVID-19, kami didorong oleh sokongan yang diterima daripada semua yang telah menyumbang untuk tabung ini,” katanya.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho pula berkata tabung ini penting untuk memastikan pengamal perubatan diberi perhatian agar sektor penjagaan kesihatan berada pada kedudukan yang baik untuk meneruskan perjuangan menentang Covid-19.

Tabung Covid-19 Shopee MMA menarik lebih 32,000 penyumbang bagi tempoh tiga bulan sejak ia dilancarkan.

Semua sumbangan berjumlah RM5 ke atas dibuat menerusi kedai digital MMA dan MMAF dalam aplikasi Shopee manakala sumbangan sebanyak RM10 ke atas menerima resit pengecualian cukai. Hari ini adalah tarikh tutup untuk semua sumbangan. - Bernama