MPK turun 2,654 iklan haram

Nor Kamawati melihat gegantung dan iklan haram yang diturunkan dalam operasi pagi tadi.
Nor Kamawati melihat gegantung dan iklan haram yang diturunkan dalam operasi pagi tadi.
A
A
A

KUANTAN - Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) menanggalkan sebanyak 2,654 iklan haram yang digantung atau dipasang di empat lokasi daerah ini, pagi tadi.

Lokasi terlibat ialah di Jalan Pintasan Bukit Setongkol - Indera Mahkota - Bukit Istana (kiri dan Kanan); simpang empat lampu isyarat Jalan Tanjung Lumpur - Jalan Sungai Soi, Jaya Gading, Jalan Gambang - Kem Batu 10 dan lampu isyarat empat jalan di Teluk Sisek, Jalan Kubang Buaya - Jalan Teluk Sisek hingga ke Jalan Tengku Muhammad.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Nor Kamawati Kamal berkata, antara iklan haram yang dibuang oleh pihaknya seperti gegantung yang tiada berkelulusan dan tidak diselenggara dengan baik walaupun ada kelulusan tetapi ia terbiar.

Menurutnya,selain itu terdapat iklan haram turut ditampal seperti pinjaman wang haram atau Ahlong dan iklan yang sudah tamat tempoh turut diturunkan oleh pihaknya.

“Tujuan pihak kita membuang semua iklan ini untuk memastikan kebersihan, keceriaan dan kelestarian bandar ini.

“Jadi sebab itu, pihak MPK bersama beberapa pihak yang terlibat mengadakan operasi bersepadu bagi menurunkan iklan gegantung tanpa kelulusan lesen dan iklan pinjaman wang haram pagi tadi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media di perkarangan bangunan MPK sebentar tadi.

Artikel Berkaitan:

Nor Kamawati (kiri, depan) bersama Alias dan anggota perlesenan MPK serta pihak polis menurunkan gegantung dan iklan yang diturunkan dalam operasi itu
Nor Kamawati (kiri, depan) bersama Alias dan anggota perlesenan MPK serta pihak polis menurunkan gegantung dan iklan yang diturunkan dalam operasi itu

Operasi bersepadu ini melibatkan 26 anggota dan diketuai Pengarah Pembangunan, Perniagaan dan Perlesenan, Alias Sudin bersama unit Iklan bahagian perlesenan, unit tindakan khas, Jabatan Perkhidmatan Perbandaran, bahagian penguatkuasaan dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.

Menyentuh mengenai operasi itu,Nor Kamawati berkata, operasi ini kali pertama diadakan bersama pihak polis dan pihaknya bercadang untuk terus mengadakan operasi sebegini secara berterusan.

“MPK menerusi unit perlesenan sentiasa mengadakan operasi menurunkan iklan ini dari setiap tiga kali seminggu.

“Kebiasaan operasi tersebut dilakukan pada waktu malam,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai khususnya yang ingin mengiklankan produk atau penganjuran sebarang aktiviti supaya memohon permit sebelum menggantung sepanduk serta kain rentang.

"Perbuatan tidak bertanggungjawab itu boleh mengganggu pandangan pengguna jalan raya dan boleh mengakibatkan kemalangan kerana sepanduk dan iklan ini ditampal secara tidak teratur.

"Pihaknya memandang serius pemasangan iklan tanpa kebenaran ini kerana boleh mencacatkan pemandangan bandar raya Kuantan selain menutup papan tanda arah jalan," katanya.