Bot nelayan Vietnam dilucut hak jadi tukun tiruan

Muhammad Suffi (kiri) ketika operasi pelupusan bot nelayan Vietnam yang dilakukan di perairan Batu Buruk, Kuala Terengganu, hari ini.
Muhammad Suffi (kiri) ketika operasi pelupusan bot nelayan Vietnam yang dilakukan di perairan Batu Buruk, Kuala Terengganu, hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu melupuskan dua bot nelayan Vietnam yang telah dilucut hak dengan menjadikan ia sebagai tukun tiruan bagi pembiakan ikan di perairan Batu Buruk di sini.

Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, dua bot itu telah dilucut hak setelah disabitkan kesalahan menceroboh serta mengaut hasil di perairan negara tanpa kebenaran tahun lalu.

Menurutnya, tindakan menenggelamkan bot berkenaan juga merupakan simbolik kepada komitmen Maritim Malaysia di dalam mengekang kebanjiran nelayan asing ke perairan negara.

“Selain menjadikan ia sebagai tempat pembiakan ikan, tindakan ini merupakan satu isyarat dan ketegasan kerajaan dalam memerangi ancaman nelayan asing seterusnya memastikan kedaulatan perairan negara serta sumber perikanan terus terpelihara.

“Kita akan terus melaksanakan rondaan untuk mengesan kegiatan pencerobohan nelayan asing dan juga sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di sekitar perairan Terengganu.

“Kita juga akan sentiasa memperketatkan lagi kawalan di perairan negara bagi membanteras salah laku jenayah seperti penyeludupan dan pencerobohan nelayan asing,” katanya.

Muhammad Suffi berkata, program pelupusan bot yang dilakukan hari ini turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Perikanan, Taman Laut dan Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT).

Katanya, ISMAT telah menjalankan kajian terperinci mengenai kaedah bot nelayan yang ditenggelamkan sebagai tukun tiruan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sehingga kini, APMM Terengganu telah melupuskan sebanyak 151 bot nelayan asing untuk dijadikan tukun tiruan.

“Tahun ini sahaja, APMM Terengganu telah melupuskan empat bot nelayan Vietnam yang kesnya telah selesai dan ditenggelamkan ke dasar laut untuk dijadikan sebagai tukun tiruan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan mencurigakan yang berlaku di laut.

“Kita memohon kerjasama komuniti maritim agar bantu APMM Terengganu dengan menjadi mata dan telinga serta menyalurkan maklumat dan aduan dengan cepat ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Terengganu,” katanya.