X

Kindly register in order to view this article
!

Ular sawa 100kg bersama 50 biji telur belakang rumah

Ular sawa batik dan telur yang berjaya ditangkap APM Marang. FOTO: Ihsan APM Marang
A
A

MARANG – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Marang menangkap seekor ular sawa batik seberat lebih 100 kilogram (kg) yang sedang mengeram 50 biji telur di belakang sebuah rumah di Kampung Pulau Kerengga di sini.

Pegawai APM Marang, Kapten Mohd Zabri Abd Razak berkata, kehadiran reptilia sepanjang lima meter itu disedari seorang penduduk, Mohd Zulan Ahmad, 38, ketika sedang membersihkan halaman belakang rumahnya.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan pada jam 10 pagi daripada seorang penduduk memberitahu mengenai penemuan seekor ular sawa batik tidak jauh dari lokasi kediamannya.

"Sebaik pegawai dan dua anggota tiba di lokasi, didapati seekor ular sawa batik di dalam sebuah lubang pada akar pokok kelapa berhampiran kawasan paya. Pada mulanya kita tidak tahu ular itu sedang mengeram dan berasa pelik kerana ia tidak bertindak balas.

“Selepas disentuh dan ia bergerak barulah kita tahu ada banyak telur yang terlindung di dalam lubang. Kita ambil masa dalam lima hingga 10 minit untuk ‘jinakkan’ ular sawa berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Mohd Zabri (kanan) dan anggota APM Marang bersama ular sawa batik seberat kira-kira 100 kg dan 50 biji telur yang berjaya ditangkap. FOTO: Ihsan APM Marang
Mohd Zabri (kanan) dan anggota APM Marang bersama ular sawa batik seberat kira-kira 100 kg dan 50 biji telur yang berjaya ditangkap. FOTO: Ihsan APM Marang

Beliau berkata, ular sawa itu adalah yang terbesar ditangkap tahun ini oleh pasukan APM di daerah terbabit.

“Berdasarkan saiz dan panjang ular, ia merupakan yang terbesar dan terpanjang yang kita pernah tangkap untuk tahun ini di daerah Marang.

“Pihak APM akan hubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan keadaan persekitaran rumah dan segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya berdepan ancaman haiwan berbisa.

“Musim sekarang keadaan cuaca agak tidak menentu dan haiwan-haiwan berbisa ada di merata-rata tempat.

“Kita minta orang ramai supaya lebih berhati-hati dan segera menghubungi pihak berkuasa atau APM jika berdepan dengan haiwan berbisa ini. Apa yang penting jangan bertindak sendirian untuk mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus