X

Kindly register in order to view this article
!

Adik PM Singapura tidak bertanding pilihan raya

Lee Hsien Yang. -Foto: AFP
A
A

SINGAPURA - Lee Hsien Yang yang merupakan adik kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong hari ini memaklumkan beliau tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Singapura 2020 (GE2020) untuk menentang kubu kuat PAP di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Tanjong Pagar.

Perkara itu diumumkan selepas nama Hsien Yang yang menyertai parti pembangkang, Parti Kemajuan Singapura (PSP) pada minggu lalu tidak tersenarai sebagai calon yang disahkan sejurus tempoh penamaan calon berakhir pada jam 12 tengah hari.

Sebelum ini, ahli perniagaan terbabit berulang kali menyatakan beliau tidak berminat dengan politik sebelum terlibat sengketa keluarga dengan abangnya.

Beliau turut mendakwa PAP yang diasaskan mendiang bapanya, Lee Kuan Yew telah 'tersasar dari landasan'.

Kritikan Hsien Yang termasuk mendakwa parti pemerintah terbabit berdepan 'pemikiran yang sempit' dan hanya berkhidmat untuk golongan elit.

Terdahulu, calon PSP di GRC Tanjong Pagar, Michael Chua menyatakan Hsien Yang telah menjadi penasihat kepada pasukan mereka.

"Beliau mahu berkongsi pengetahuan dan pemahamannya tentang proses politik. Beliau juga mahu memberi sokongan moral kepada kami dan menjadi pemangkin kepada proses politik ini," ujarnya yang menjelaskan Hsien Yang tidak semestinya menjadi calon dan hanya perlu menjadi ahli parti politik. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!