X

Kindly register in order to view this article
!

Perak benar guna tanah kerajaan untuk pertanian

Yahanis (kanan) menyerahkan replika bantuan Skim Agro Prihatin Perak kepada salah seorang penerima sambil disaksikan Ahmad Faizal (tengah), Abdul Yunus dan Zainol Fadzi (kiri) di Pejabat PPPNP hari ini.
A
A

IPOH - Kerajaan Perak tidak menghalang mana-mana individu untuk mengusahakan tanah milik kerajaan negeri bagi tujuan pertanian asalkan mendapat kebenaran daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihak PPPNP kini sedang giat menjalankan pemutihan kawasan penerokaan haram pertanian di negeri ini bagi membolehkan petani meneruskan usaha mereka.

Menurutnya, pada tahun lalu, sejumlah 1,165 hektar tanah telah selesai menjalani proses pemutihan manakala pada tahun ini, jumlah kawasan yang berjaya menjalani proses itu sebanyak 228 hektar.

"Saya ingin menguar-uarkan kepada mereka yang masih mengusahakan secara tidak sah supaya tampil ke depan bertemu dengan kerajaan negeri atau PPPNP bagaimana mereka boleh teruskan usaha dengan cara yang sah. Sehingga kini, lebih 300 petani yang berjaya mengusahakan tanah tersebut secara sah.

"Kita tidak memaksa mereka menyerahkan semula tanah yang telah diteroka, sebaliknya kita mahu ia diusahakan secara sah sekaligus PPPNP memperoleh pendapatan hasil pajakan tanah tersebut," katanya kepada pemberita sempena Majlis Penyampaian Simbolik Projek Pemacu Agrotani Perak (Pemacu) dan Skim Usahawan Agroprihatin di Pejabat PPPNP di sini hari ini.

Hadir sama, pada majlis itu, Exco Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan Perak, Datuk Abdul Yunus Jamahri; Penasihat Menteri Besar Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP, Yahanis Yahya.

Beliau berkata, kadar pajakan yang dikenakan juga berpatutan iaitu RM1,500 setahun bagi satu hektar untuk tujuan pertanian, namun bagi penternakan udang pula dikenakan RM2,000 setahun bagi satu hektar.

Ahmad Faizal berkata, sehingga kini, sebanyak 3,494 hektar tanah kerajaan negeri milik PPPNP yang belum menjalani proses pemutihan daripada penerokaan haram.

Katanya, dua kawasan utama yang melibatkan penerokaan haram adalah di kawasan Kampar dan Tapah.

Bagaimanapun, menurutnya, bagi pengusaha haram korporat pula, mereka tidak akan sewenang-wenangnya diberikan kebenaran mengusahakan tanah secara sah, sebaliknya tindakan mahkamah dikenakan kerana menceroboh tanah kerajaan.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal menjelaskan, PPPNP menyasarkan untuk melahirkan 1,000 usahawan agrotani dalam masa tiga hingga lima tahun menerusi pelbagai projek yang diperkenalkan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus