Dua kes baharu positif Covid-19 dilaporkan

Noor Hisham
Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan dua kes baharu positif koronavirus (Covid-19) hari ini masing-masing melibatkan satu kes import dan penularan tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, kedua-dua kes membabitkan rakyat tempatan.

"Kes penularan di dalam negara adalah kes saringan pra-rujukan di Hospital Kota Belud, Sabah," katanya.

Menurutnya, pertambahan kes tersebut menjadikan jumlah kumulatif positif Covid-19 meningkat kepada 8,639 kes.

"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 164 kes," katanya.

Beliau berkata, pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) sebanyak empat kes termasuk seorang yang memerlukan bantuan pernafasan.

"Dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal 121 kes bersamaan dengan 1.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, terdapat 20 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

"Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 8,354 kes bersamaan dengan 96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Sementara itu, KKM menyeru orang ramai supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan susulan beberapa sub-sektor pelancongan, pusat-pusat hiburan, aktiviti riadah dan pra sekolah akan dibuka semula bermula esok.

"Kita seharusnya tidak alpa dengan trend penurunan kes Covid-19, sebaliknya perlu lebih berwaspada serta mematuhi SOP dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan pada setiap

masa,"katanya.

Tambahnya, pematuhan SOP merupakan kunci utama dalam memastikan kes Covid-19 terus berkurang.

"Memandangkan lebih banyak sub-sektor akan dibuka pada esok, kerjasama orang ramai adalah amat diperlukan oleh kerajaan untuk sama-sama kita memutuskan rantaian penularan Covid-19 di Malaysia," katanya.