PRK Chini: 10 menara telekomunikasi baharu untuk rakyat Chini

Saifuddin melawat pusat media di Kampung Salong hari ini.
Saifuddin melawat pusat media di Kampung Salong hari ini.
A
A
A

PEKAN - Sebanyak 10 menara telekomunikasi baharu akan dibina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini bagi meningkatkan kadar penggunaan jalur lebar dan perkhidmatan 4G yang lebih baik kepada penduduk di sekitarnya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan pemantauan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di 15 kawasan di DUN Chini pada 27 Mei lalu.

Menurutnya, hasil daripada pemantauan itu mendapati, capaian internet di kawasan Chini adalah sangat rendah dan kerajaan perlu mengambil inisiatif dengan menambah baik capaian internet.

"Selain itu, kita juga akan menaik taraf 11 menara sedia ada daripada 2G dan 3G kepada 4G. Bagi perkhidmatan jalur lebar tetap pula, sebanyak 439 premis daripada rangkaian jalur lebar tembaga (copper) sedia ada akan dinaik taraf kepada rangkaian jalur lebar gentian optik.

"Inisiatif penaiktarafan yang akan dilaksanakan oleh Telekom Malaysia Bhd dan ia dijangka siap menjelang hujung tahun 2021," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Media di Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini di Kampung Salong di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah SKMM Pahang, Zahari Ismail, Pengurus Besar Telekom Malaysia Pahang, Datuk Zulfikri Hashim, Pengarah Penerangan Pahang, Mohd Salmun Mustafa dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu.

Saifuddin berkata, terdapat dua stesen pemancar di menara sedia ada di Chini dan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Paloh Hinai telah dinaik taraf kepada perkhidmatan 3G dan 4G pada suku kedua 2020.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, pelaksanaan inisiatif tersebut meningkatkan liputan dan kualiti capaian internet di Chini.

"Inisiatif itu membolehkan rakyat mendapat manfaat secara menyeluruh menerusi perkhidmatan lebih pantas dan berkualiti," katanya.

Sebelum itu, Saifuddin berkata, proses menaik taraf dan peluasan liputan internet telah dijalankan oleh pihak pemberi perkhidmatan dengan menempatkan Pemancar Telekomunikasi Bergerak (mobile portable base station) secara sementara pada Jun lalu.

Menurutnya, bagaimanapun, menara sedia ada telah dinaik taraf kepada rangkaian 4G secara kekal.

Jelasnya, langkah tersebut bagi menampung khalayak yang berkunjung ke Chini terutamanya kawasan rancangan penempatan utama Felda.

"Hasil daripada kerja penambahbaikan dan penaiktarafan liputan tersebut, penduduk

di DUN Chini dan di kawasan sekitar mendapat manfaat dapat menikmati liputan internet yang lebih baik serta stabil daripada sebelum ini.

"Tapi, saya sedar masih ada beberapa tempat di DUN Chini terutamanya di kawasan pedalaman masih kurang dan memerlukan peningkatan liputan komunikasi dengan pembangunan infrastruktur atau menara yang baharu," katanya.