Kempen PRK sedingin Cameron Highlands

No Image Caption
A
A
A

TANAH RATA - Sedingin Cameron Highlands, begitulah juga boleh diibaratkan kempen PRK yang sedang berlangsung di sini selepas tirai dibuka secara rasmi 12 Januari lalu.

Berbaki lima hari lagi menjelang hari pengundian, bukan tiada kempen oleh calon-calon yang bertanding, namun aktiviti tersebut dilihat kurang hangat berbanding dengan empat PRK sebelum ini, selepas PRU14.

Menurut Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib kurangnya kehangatan kempen mungkin disebabkan jentera parti keletihan selepas mengharungi empat PRK sebelum ini iaitu Dun Sungai Kandis, Seri Setia, dan Balakong di Selangor dan Parlimen Port Dickson, Negeri Sembilan.

Beliau turut menarik perhatian apabila berkata kurang kerancakan kempen sebenarnya memberi kebaikan kerana ia menunjukkan bahawa sesuatu pilihan raya tidak perlu berlaku dalam keadaan sengit.

"Biarlah rakyat memilih dengan tenang, aman damai dan tidak terpesong dengan kempen. Biar pengundi memilih berdasarkan fakta dan populariti calon yang bertanding," katanya.

PRK Cameron Highlands pada 26 Januari ini bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PH, M.Manogaran, Ramli Mohd Nor dari BN, serta dua calon Bebas iaitu bekas pensyarah kanan Institut Aminuddin Baki Sallehudin Ab Talib serta Wong Seng Yee yang merupakan petani tempatan.

Menjelas lanjut, Md Shukri berkata sewajarnya kempen PRK Cameron Highlands tidak terlalu agresif kerana ia hanya merupakan keputusan nilai tambah kepada pihak yang menang dan bukan menentukan jatuh bangun sesebuah kerajaan negeri atau Persekutuan.

"Ini bukan PRK yang getir kerana kalau BN kekal menang, PH masih mentadbir Persekutuan dan jika PH menang, BN masih teruskan mandat di peringkat negeri," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Md Shukri sekiranya BN mengekalkan kemenangan di Cameron Highlands ia bukan sesuatu yang unik kerana kerusi itu merupakan antara kubu parti tersebut sejak 2004, namun jika keputusan berpihak kepada PH ia membuktikan masyarakat memberi kepercayaan kepada kerajaan PH.

Seorang lagi pemerhati politik, Prof. Dr Sivamurugan Pandian berpandangan pemimpin utama PH hanya akan turun pada minggu ini sebelum tempoh berkempen tamat pada 12 tengah malam, 25 Januari.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Sains Malaysia itu berkata pecutan pada minggu akhir mungkin disebabkan parti-parti bertanding merasakan pengenalan calon memadai dilakukan oleh jentera.

"Pendekatan ini dapat memastikan calon menggunakan pendekatan berhubung atau berinteraksi secara langsung dengan para pengundi," katanya.

Beliau berkata penganjuran ceramah dalam skala kecil juga menjadi pilihan sama ada oleh PH atau BN kerana pendekatan itu lebih bersasar kepada golongan tertentu.

PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada BN dalam PRU14, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Parlimen Cameron Highlands mempunyai dua Dun iaitu Tanah Rata dan Jelai dengan jumlah keseluruhan pengundi seramai 32,009 termasuk 247 pengundi awal yang akan mengundi esok, 12 pengundi tidak hadir dan 385 pengundi kurang upaya.- Bernama