'Saya tak akan buat rayuan'

Zulkifli
Zulkifli
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim tidak akan membuat rayuan terhadap tindakan pemecatan yang dikenakan terhadapnya oleh PKR baru-baru ini.

Menurutnya, sehingga hari ini beliau belum menerima sebarang surat daripada parti dan hanya mendengar mengenai perkara itu melalui laporan media.

"Saya belum terima secara rasmi lagi mengenai perkara ini (pemecatan) dan hanya tahu daripada media.

ARTIKEL BERKAITAN: PKR pecat 5 ahli termasuk Ketua Wanita, Haniza Talha

"Saya akan buat kenyataan ataupun sidang media selepas menerima surat nanti," katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Zulkifli sebelum ini antara tiga pemimpin PKR Pulau Pinang yang dipecat oleh lembaga disiplin parti itu pada 28 Jun lalu selain ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin dan Ketua Wanita PKR, Nur Zarina Zakaria.

Ditanya mengenai hala tuju politiknya selepas ini, beliau memberi bayangan akan mengikut jejak langkah Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman yang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Zulkifli bersama empat ADUN dari Pulau Pinang mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

Empat ADUN lain ialah Dr Afif, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifli Md Lazim (Teluk Bahang) daripada Bersatu serta wakil tunggal Pas, Mohd Yusni Mat Piah (Penaga).

Gambar pertemuan mereka yang tular di laman sosial mengundang spekulasi kononnya ada cubaan untuk menjatuhkan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow sebelum ini ketika mengulas perkara itu berkata, PH Pulau Pinang tidak tergugat dengan usaha yang cuba untuk menjatuhkan kerajaan negeri.