Doktor didakwa miliki barang curi

Doktor perubatan di hospital kerajaan, Dr Neoh Soon Khai,39, (tengah) didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pelbagai kesalahan menyimpan barangan curi. -FOTO: BERNAMA
Doktor perubatan di hospital kerajaan, Dr Neoh Soon Khai,39, (tengah) didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pelbagai kesalahan menyimpan barangan curi. -FOTO: BERNAMA
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang doktor di hospital kerajaan hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menyimpan barangan curi April lepas.

Dr Neoh Soon Khai,39, dari Gurney Park, Jalan Kelawai di sini menghadapi 11 pertuduhan dan dituduh dua Mahkamah Majistret.

Bagaimanapun, hanya dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Jamaliah Abd Manap dan Majistret Rosnee Mohd Radzuan kerana peguam K Mahendran yang mewakili Dr Soon Khai memaklumkan anak guamnya pernah mendapatkan rawatan psikiatri.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Dr Soon Khai bagi kedua-dua pertuduhan itu dan mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali supaya tertuduh dihantar menjalani pemeriksaan mental selama sebulan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Mengikut pertuduhan pertama, Dr Soon Khai didakwa memiliki harta curi iaitu kad pengenalan kepunyaan Ong Chong Chow Jonathan di sebuah unit Gurney Park Condo, Jalan Kelawai di sini pada jam 7.55 malam 23 April lepas.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyimpan harta curi iaitu kad pengenalan dan pasport milik Wong Wei Ye tanpa kebenarannya di sebuah bilik di sebuah unit Gurney Park Condo, Jalan Kelawai di sini pada jam 7.55 malam 24 April lepas.

Kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah menetapkan 29 Julai untuk sebutan semula sementara menunggu laporan Hospital Bahagia Ulu Kinta. - Bernama

Artikel Berkaitan: