Kemenangan di Chini jadi isyarat kekuatan Perikatan Nasional

Muhyiddin - Foto Bernama
Muhyiddin - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberi sokongan sepenuhnya kepada calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini Sabtu ini.

Presiden yang juga pemangku Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyifatkan, sekiranya BN beroleh kemenangan, kejayaan itu bakal memberi isyarat kepada seluruh rakyat Malaysia mengenai keupayaan Perikatan Nasional.

Muhyiddin berkata, PRK DUN Chini adalah pilihan raya pertama bagi Bersatu bersama gabungan kerajaan Perikatan Nasional dan beliau menyokong sepenuhnya calon pilihan BN, Mohd Sharim Md Zain, 41.

"Sebagai Presiden Bersatu dan Perdana Menteri Malaysia, saya menyokong penuh calon diputuskan BN untuk bertanding pada PRK DUN Chini, Mohd Shahrim Md Zain.

"Justeru, bagi memastikan kemenangan pertama Perikatan Nasional, seluruh jentera akar umbi Bersatu Bahagian Pekan digerakkan untuk berkempen menyokong calon pilihan gabungan ini. Gerakan kempen ini diperkuatkan lagi dengan kehadiran pemimpin-pemimpin kanan Bersatu dari seluruh negara," kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhyiddin yang juga Perdana Menteri berkata, kesepakatan dan kematangan parti-parti Perikatan Nasional untuk berkempen serta berkongsi pentas politik secara terbuka di PRK DUN Chini adalah satu langkah bersejarah ke arah pembentukan perikatan bagi menjadi gabungan politik yang kukuh dan mantap.

Oleh itu, kemenangan calon BN mewakili Perikatan Nasional dalam PRK Chini bakal memberi isyarat kepada seluruh rakyat Malaysia tentang keupayaan Perikatan Nasional sebagai gabungan parti-parti politik mampu bekerjasama untuk menjayakan agenda kebajikan rakyat dan kemajuan negara.

"Saya menyeru kepada 20,990 pengundi berdaftar di DUN Chini agar keluar beramai-ramai dan memberikan sokongan padu kepada calon BN, pada tanggal 4 Julai akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Plihan anda bukan sahaja bakal menentukan pembangunan serta masa hadapan Chini tetapi akan membuka lembaran baharu kepada hala tuju politik di peringkat nasional," katanya.

Pengundian PRK DUN Chini pada 4 Julai ini menyaksikan pertembungan antara Mohd Sharim Md Zain, 41, dan calon Bebas iaitu ahli perniagaan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, yang juga penulis blog.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, pada 7 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung.