1MDB: Penyusunan usaha sama syarikat didakwa untuk perdaya ALP

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bersetuju bahawa, mekanisme penyusunan semula usaha sama 1MDB dengan Petrosaudi International (PSI), adalah untuk memperdaya ahli lembaga pengarah (ALP) 1MDB.

Ketika pemeriksaan balas dalam perbicaraan kes 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi di sini hari, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata ‘ya’ dengan cadangan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, bahawa tindakan itu dibuat agar tiada pihak mengetahui nilai sebenar pelaburan.

Muhammad Shafee: Resolusi Pekeliling Pengarah (DCR) yang berkaitan dengan penukaran saham ekuiti 1MDB dalam PetroSaudi Oil Services Ltd (PSOSL), PetroSaudi International Ltd (PSI) ke dalam unit dana dibuat bagi memperdaya mereka.

Shahrol: Ya tapi saya tidak terlibat. Perbincangan yang dibuat hanya melibatkan Jho Low (ahli perniagaan, Low Taek Jho ), Jasmine Loo Ai Swan (bekas pegawai undang-undang 1MDB) dan pegawai dari PSI.

Muhammad Shafee: Jelas sekali, DCR adalah mekanisme untuk memperdayakan ahli lembaga.

Shahrol: Ya.

Beliau juga berkata ‘ya’ selepas diajukan mengenai pertukaran pelaburan sebanyak AS$2.22 bilion kepada AS$2.318 bilion, sebagai salah satu helah, bagi tujuan yang sama.

Bagaimanapun, Shahrol tidak mahu komen sama ada Najib mempunyai akses terhadap maklumat berkenaan atau tidak, ketika itu.

Artikel Berkaitan:

Najib, 67, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.