Tiga ditahan disyaki samun berkawan

Gambar hiasan. Gambar kecil: Superintenden Azhar Hashim
Gambar hiasan. Gambar kecil: Superintenden Azhar Hashim
A
A
A

KULIM - Dua lelaki dan seorang wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian samun berkawan di sekitar Kulim, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Azhar Hashim berkata, kesemua suspek berusia 18 hingga 39 tahun itu ditahan antara jam 4 dan 6 petang semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, dua suspek terdiri daripada seorang lelaki dan seorang perempuan mengaku terlibat dalam kejadian samun sebelum menjual telefon bimbit hasil samun kepada seorang lagi suspek.

"Semakan mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes curi," katanya.

Kes disiasat bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan.

Dalam kejadian 24 Jun lalu, seorang lelaki berusia 46 tahun cedera di bahagian lengan kiri akibat disamun di kawasan bangunan terbiar belakang Tenaga Nasional Berhad Kulim dekat Bandar Putera, kira-kira jam 1 petang.

Mangsa yang ketika itu sedang berjalan kaki menuju ke pejabat disamun dan beg miliknya mengandungi telefon bimbit jenama Huawei P30 Pro, kunci kereta dan set kunci rumah serta pejabat telah dilarikan.

Kesemua suspek direman selama dua hari sehingga esok bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan: