Penolong pengurus PAIP terima rasuah dijel 2 minggu

Seorang penolong pengurus di Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dipenjara dua minggu dan denda RM20,000 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2,000, lima tahun lepas.
Seorang penolong pengurus di Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dipenjara dua minggu dan denda RM20,000 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2,000, lima tahun lepas.
A
A
A

KUANTAN - Mahkamah Sesyen di sini hari ini, memerintahkan seorang penolong pengurus di Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dipenjara dua minggu dan denda RM20,000 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2,000, lima tahun lepas.

Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib juga memerintahkan supaya hukuman terhadap Mohd Azeri Mohd Noor, 51, ditambah sebanyak enam bulan, jika tertuduh gagal menjelaskan denda itu.

Tertuduh didakwa menerima rasuah itu daripada seorang ahli perniagaan yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya di Bank Simpanan Nasional cawangan Raub dekat sini, pada 7 Ogos 2015 dan 21 September 2015.

Transaksi yang setiap satu berjumlah RM1,000 didakwa sebagai upah untuk tertuduh melancarkan proses pengurusan tender bagi projek mereka bentuk, membina, menyiap dan menauliah loji rawatan air (LRA) di Sungai Bilut, Raub bagi syarikat kontraktor milik ahli perniagaan itu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, ahli perniagaan itu mula mengenali tertuduh pada 2015 dan mengetahui dia berperanan sebagai urusetia sebut harga dan syarikat itu telah menerima projek daripada PAIP berkaitan LRA itu yang berjumlah RM4.5 juta.

Tertuduh didakwa telah menghubungi ahli perniagaan itu menerusi pesanan WhatsApp dan meminta upah kerana mendakwa dirinya telah melancarkan proses tender syarikat itu.

Pada prosiding itu, peguam Abdullah Sidek merayu mahkamah menjatuhkan hukuman minimum bagi anak guamnya kerana jumlah suapan diterima adalah rendah selain pengakuan salah itu telah menjimatkan masa mahkamah.

Artikel Berkaitan:

"Tertuduh juga menjaga isteri dan tiga anaknya yang masih belajar. Kami memohon supaya mahkamah mengambil kira rayuan kami dan menjatuhkan hukuman rendah terhadap tertuduh," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Wan Shahruddin Wan Ladin. - Bernama