Wang simpanan RM3.83 juta lesap diperdaya 'pos laju'

Gambar Hiasan. (Gambar kecil: Nik Ezanee)
Gambar Hiasan. (Gambar kecil: Nik Ezanee)
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang pesara di sini kerugian RM3.83 juta selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai pos laju baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam kejadian pada 13 April lalu, mangsa seorang wanita berusia 90 tahun telah menerima panggilan yang mendakwa daripada Pos Laju Malaysia.

Menurutnya, suspek memaklumkan terdapat satu bungkusan mengandungi kad pengenalan dan kad ATM mangsa yang dihantar dari Ipoh, Perak ke Sabah.

Katanya, panggilan itu kemudian disambungkan kepada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Ho Mum Foo dan Inspektor Herman Lee dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Perak.

"Mangsa diberitahu telah terlibat dalam sindiket pengubahan wang haram dan diugut akan ditangkap sebelum direman 45 hari sekiranya memberitahu sesiapa berkenaan kes terbabit.

"Bimbang dengan ugutan itu, mangsa akur dengan arahan suspek dengan memindahkan wang simpanannya ke dalam tujuh akaun syarikat yang berbeza berjumlah RM3.83 juta secara berperingkat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati transaksi dibuat mangsa berlaku pada 20 April sehingga 15 Jun lalu.

Katanya, usaha mengesan suspek yang terlibat masih dijalankan.

Artikel Berkaitan:

"Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tipu helah dan ugutan suspek.

"Hubungi pihak polis sekiranya menerima panggilan yang menggunakan modus operandi dengan mensasarkan warga emas," katanya.

Tambahnya, segala maklumat berkenaan jenayah siber boleh diperoleh melalui Facebook Polis Daerah Petaling Jaya.