Hina Jata Negara: Jangan langgar 'lampu merah' rakyat Malaysia!

Dari kanan, Kok Thiam, Abdul Hadi dan Nurul Amin menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Kota Setar, hari ini.
Dari kanan, Kok Thiam, Abdul Hadi dan Nurul Amin menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Kota Setar, hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - "Kami mewakili rakyat Malaysia mahu memberikan amaran keras kepada golongan-golongan sebegini jangan sesekali langgar 'lampu merah' rakyat Malaysia.

"Ini satu perkara yang cuba membangkitkan rasa benci, rasa tidak puas hati dan menggugat keharmonian di kalangan rakyat di negara ini," kata Ketua Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid kepada Sinar Harian di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar hari ini.

Menurutnya, pihaknya percaya rakyat Malaysia tersinggung dengan muka depan buku 'Rebirth: Reformasi, Resistance, and Hope in New Malaysia' yang didakwa menghina Jata Negara.

"Ia juga adalah satu penghinaan kepada lambang kerajaan Persekutuan dan juga negara ini.

"Kami menganggap apa yang dilakukan terhadap Jata Negara ini bagaikan menghina Yang di-Pertuan Agong, institut diraja, institusi kerajaan dan juga seluruh rakyat Malaysia," katanya lagi.

Terdahulu, Pemuda Pas melalui Ketua Penerangannya, Abdul Hadi Omar membuat laporan polis di IPD Kota Setar dan turut bersama adalah Setiausaha Pemuda MCA Bahagian Kota Setar, Chan Kok Thiam.

Nurul Amin berkata, lukisan provokasi seumpama itu seharusnya tidak dibuat dan pihaknya memberikan penghargaan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang pantas mengarahkan polis membuka kertas siasatan untuk menyiasat perkara itu semalam.

"Walaupun kertas siasatan telah dibuka, namun kami tetap hadir membuat laporan polis untuk memberikan isyarat kepada golongan ini agar jangan sesekali melukakan hati rakyat negara ini,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Hamzah melalui Twitternya telah mengarahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung perkara itu.