X

Kindly register in order to view this article
!

Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir dibuka semula

Ariffin (dua dari kanan) memberikan susu kepada anak gajah yang merupakan aktiviti baharu Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir (KECV), Hulu Terengganu.
A
A

HULU TERENGGANU - Kerajaan Terengganu mengumumkan pembukaan semula Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir (KECV), Hulu Terengganu bermula esok dengan potongan hampir separuh harga tiket.

Potongan harga istimewa itu bagi menarik kunjungan lebih ramai pelancong setelah tiga bulan ditutup susulan pandemik koronavirus (Covid-19).

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu, Ariffin Deraman berkata, ia juga bagi menaikkan kembali eko-pelancongan Terengganu yang menyokong kepada pemuliharaan dan pemeliharaan flora serta fauna.

"Harga tiket baharu yang kita kenakan bagi warganegara yang berusia 13 tahun ke atas adalah RM25 berbanding RM40 sebelum ini, manakala yang berusia 7 hingga 12 tahun berharga RM15, RM5 bagi yang berusia 1 hingga 6 tahun manakala percuma bagi bayi berusia 11 bulan ke bawah.

Pengunjung boleh melalui jambatan gantung sambil melihat kawanan gajah.
Pengunjung boleh melalui jambatan gantung sambil melihat kawanan gajah.

"Bagi bukan warganegara pula, harga tiket yang dikenakan bagi usia 13 tahun ke atas ialah RM50, 7 hingga 12 tahun (RM30), 1 hingga 6 tahun (RM10) dan percuma bagi bayi berusia 11 bulan ke bawah," katanya pada sidang media selepas Majlis Pembukaan dan Harga Tiket Masuk Baru KECV di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Ab Rasid Jusoh dan Pengarah Urusan S Bina Management Sdn Bhd, Ang Ching Yang yang bertanggungjawab mengelola dan menyelia KECV.

Mengulas lanjut, Ariffin berkata, walaupun dibuka sepenuhnya, KECV menitikberatkan keselamatan pengunjung serta gajah daripada segala ancaman virus, kesihatan mahupun fizikal.

Bagi memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, prosedur operasi standard (SOP) aktiviti di KECV akan dipinda mengikut kesesuaian dan pematuhan kepada Kementerian Kesihatan.

"Terdapat dua aktiviti yang perlu dibatalkan iaitu pembentangan pendidikan gajah dan menunggang gajah. Bagaimanapun, kita memperkenalkan aktiviti baharu iaitu menyusukan anak gajah.

Antara gajah yang terdapat di KECV.
Antara gajah yang terdapat di KECV.

"Pengunjung juga boleh mengikuti aktiviti menaiki jambatan gantung sambil melihat kehidupan gajah, interaksi bersama gajah, memberi makan gajah dan melihat gajah mandi dari kawasan restoran mengikut SOP yang kita tetapkan.

"Selain itu, kita juga mengehadkan jumlah pengunjung kepada 400 orang sehari dan mengambil kira penjarakan sosial dan jumlah pengunjung bagi setiap aktiviti," katanya.

Jelasnya lagi, jumlah pengunjung ke KECV sepanjang tahun lalu seramai 16,000 dengan 25 peratus adalah pelancong luar negara.

Bagaimanapun, beliau optimis jumlah pengunjung akan meningkat dengan inisiatif potongan harga tiket di samping pengenalan aktiviti baharu kepada pengunjung.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus