'Henti hina rakyat Pahang, politik ugut ala kongsi gelap'

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Serangan politik bersiri dipelopori Menteri Kewangan, Lim Guan Eng terhadap beberapa negeri yang tidak sealiran dengan kerajaan Persekutuan tidak wajar berlaku.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Reezal Merican Naina Merican mendakwa, serangan terbaru Guan Eng terhadap kerajaan Pahang bermotifkan politik dan ia mempengaruhi keputusan PRK Cameron Highlands.

Menurutnya, Guan Eng tidak sepatutnya menggunakan kedudukan beliau untuk melancarkan serbuan fakta ekonomi yang merosakkan hubungan negeri dan pusat.

"Ini bukan cara ahli politik budiman. Ini taktik ugut ala kongsi gelap yang diperkenalkan Kementerian Kewangan.

"Saya kesal ini budaya politik Malaysia Baharu yang kurang adab dan tertib. Malang untuk Malaysia mempunyai Menteri Kewangan yang menggunakan kedudukan untuk mengatur serangan politik; berbanding menjaga kesejahteraan rakyat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hari ini, Guan Eng mempersoalkan kemampuan Kerajaan Pahang untuk melaksanakan pembangunan mampan dengan jumlah hutang tertinggi di negara yang direkodkan negeri itu.

Beliau berkata, Pahang mencatatkan sebanyak RM3.2 bilion hutang pada akhir 2018 dan belanjawan berdefisit setiap tahun dengan defisit terkumpul sebanyak negatif RM228 pada akhir 2017 lalu.

Terdahulu, bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin turut membidas kenyataan, Menteri Kewangan itu dengan menyatakan ia tidak profesional dan bermotifkan politik kerana PRK Cameron Highlands.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Reezal berkata, dalam konsep federalisme fiskal di Malaysia, isu ini wajar diselesaikan secara musyawarah dan bukannya serbuan politik.

"Guan Eng perlu berhenti mengurus Perbendaharaan Negara ala kongsi gelap dan menghormati kedudukan dan keperluan negeri-negeri. Tumpu kesejahteraan rakyat. Bukannya bawa politik peras ugut," katanya.

Katanya lagi, Guan Eng perlu mengingati semula fakta bahawa kepimpinan beliau selaku Ketua Menteri Pulau Pinang sebelum ini turut dibantu dengan ihsan dan kerjasama kerajaan Persekutuan.

"Ini semangat Federalisme yang unggul, bukan sebaliknya," katanya.