Lantikan ketua kampung di Perak dijangka selesai

AHMAD FAIZAL
AHMAD FAIZAL
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Perak menjangkakan isu lantikan ketua kampung di negeri ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kelewatan pelantikan disebabkan pelbagai faktor kerana turut melibatkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Menurutnya, selain itu, terdapat parti-parti yang belum selesai mengemukakan calon mereka.

"Buat masa ini tugas ketua kampung diambil alih oleh Jawatankuasa Sementara Pengurusan Kampung (JSPK) yang dianggotai wakil tiga parti di dalam Perikatan Nasional.

"Lantikan ini memang mengambil masa malah ketika zaman Pakatan Harapan (PH) sebelum ini juga berdepan masalah sama," katanya kepada pemberita Majlis Penyampaian Simbolik Projek Pemacu Agrotani Perak (Pemacu) dan Skim Usahawan Agroprihatin di Pejabat Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkaitan, lantikan semua Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pula berjaya diselesaikan.

Sebelum ini, Parti Amanah Negara (Amanah) Perak mendesak pelantikan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) atau ketua kampung disegerakan oleh kerajaan Perak untuk membantu menyelesaikan masalah di kawasan kampung.

Naib Pengerusinya, Dr Muhaimin Sulam berkata, sehingga kini tiada sebarang pengumuman dibuat oleh kerajaan negeri mengenai status ketua kampung baharu setelah semua Pengerusi MPKK di bawah PH ditamatkan perkhidmatan mereka pada 30 April yang lalu.

Artikel Berkaitan: