Tindakan tegas kepada pihak hina Jata Negara: Pemuda UMNO

Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO berpendirian bahawa tindakan tegas perlu diambil kepada pihak yang didapati bersalah melakukan penghinaan terhadap lambang kedaulatan negara termasuk Jata Negara.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, undang-undang jelas memperuntukkan Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pindaan 2016, yang mengenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga RM 20,000 bagi kesalahan penggunaan lambang negara termasuk Jata Negara secara tidak wajar.

"Prinsip Undang-undang ada menyebut ‘Ignorantia Juris Non Excusat’ (Ignorance of the Law is No Excuse) yang bermaksud kejahilan terhadap undang-undang bukan suatu alasan.

"Kerana ini harus diingat martabat dan maruah negara tidak sesekali boleh diperlekehkan sewenang-wenangnya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, pihak polis akan memanggil pihak yang terbabit menerbitkan buku yang didakwa menghina Jata Negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, polis diminta untuk menyiasat segera dan mengambil tindakan perlu kerana perbuatan itu tidak bertanggungjawab serta tidak patriotik.

Menurut Hamzah, adalah menjadi kesalahan bagi mana-mana pihak yang menghina lambang Kerajaan Persekutuan Jata Negara dan boleh disiasat mengikut Seksyen 3 (1) (a) Akta Lambang dan Nama (1963).

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda BN, Pas buat laporan polis buku hina Jata Negara

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, pihaknya membaca kenyataan Pengarah dan Pengasas Syarikat Penerbitan Gerakbudaya, Chong Ton Sin yang dilaporkan sebuah portal pagi ini bahawa pihaknya tiada niat untuk menghina Jata Negara.

"Kata beliau (Ton Sin): “Walaupun kami tak sengaja, kalau sudah buat sesiapa rasa kurang senang, ada menyinggung perasaan mereka, itu saya minta maaf”.

"Bagi Pemuda UMNO, ini bukan soal “sesiapa rasa kurang senang”. Malah tidak semudah itu lafaz maaf boleh diterima setelah penghinaan terhadap lambang kedaulatan negara diperlakukan sebegitu rupa," katanya.