PRK DUN Chini: 17 anggota polis, pesara mengundi awal hari ini

Pegawai Pengurus PRK, Datuk Zaliza Zulkifli ketika sidang akhbar di hadapan Balai Polis Chini hari ini.
Pegawai Pengurus PRK, Datuk Zaliza Zulkifli ketika sidang akhbar di hadapan Balai Polis Chini hari ini.
A
A
A

PEKAN - Seramai 17 daripada 18 anggota polis dan pesara mengundi awal pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini yang berlangsung di Balai Polis Chini hari ini.

Pegawai Pengurus PRK Chini, Datuk Zaliza Zulkifli berkata, beberapa prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi sebelum mereka mengundi.

Menurutnya, kesemua pengundi perlu melepasi saringan suhu badan dan mereka yang melebihi suhu 37.5 darjah celcius atau mempunyai gejala seperti batuk dan selsema akan dibawa ke khemah khas untuk pemeriksaan lanjut oleh petugas kesihatan.

"Pengundi yang mempunyai gejala dan tidak dibenarkan masuk ke kawasan pengundi akan mengundi di khemah khas di bawah pemantauan petugas kesihatan.

"Petugas akan membawa kertas undi ke khemah dan selepas mengundi ia dibawa semula ke saluran," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Chini hari ini.

Zaliza berkata, antara SOP lain yang dilakukan adalah memastikan pengundi dicalitkan dakwat menggunakan berus pakai buang dan kemudian diwajibkan memakai sarung tangan ketika menanda kertas undi.

Sementara itu, ketika ditanya adakah dengan SOP yang ketat itu akan mengganggu proses pengundian pada 4 julai nanti, beliau berkata, perkara itu dapat ditangani dengan setiap pengundi telah diberikan kad pengundi bersama jadual waktu yang disyorkan untuk keluar mengundi.

"Tempoh masa pengundian dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang nanti adalah mencukupi dan perjalanan pengundian akan berlangsung secara sistematik mengikut saluran masing-masing," katanya.

Artikel Berkaitan: