Kes rasuah Ku Nan: Pembelaan tutup kes selepas panggil empat saksi

Tengku Adnan hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Tengku Adnan hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak pembelaan mewakili bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam kes rasuah RM2 juta menutup kesnya selepas memanggil empat saksi pada perbicaraan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Hakim, Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 11 September depan untuk mendengar hujahan di akhir kes pembelaan sebelum membuat keputusan sama ada Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan disabitkan kesalahan atau dibebaskan.

“Hari ini sudah selesai bicara dan pihak pembelaan memohon untuk menutup kes.

“Kedua-dua pihak, pendakwaan dan pembelaan boleh mengemukakan hujahan bertulis pada atau sebelum 14 Ogos, manakala hujahan balasan perlu difailkan pada atau sebelum 4 September depan,' kata hakim berkenaan.

Sebelum itu peguam, Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan memaklumkan kepada mahkamah, bahawa pihak pembelaan menutup kes selepas pemeriksaan utama saksi terakhir, Koordinator Sukarelawan Muda, Datuk Zakaria Dollah selesai.

Ketika pemeriksaan balas, Zakaria yang juga Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, bersetuju dengan soalan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim mengenai kenyataan saksi terdahulu iaitu Pengarah Jentera PRK Sungai Besar (2016), Datuk Rizalman Mokhtar bahawa semua rekod perbelanjaan ketika Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar perlu dilupuskan selepas sebulan.

“Berbeza dengan saya, setiap rekod perbelanjaan akan dilupuskan segera, lebih kurang dua atau tiga hari selepas itu,” katanya.

Sementara itu, Zakaria juga mengatakan 'ya' terhadap saranan Hock Chuan, bahawa beliau bertindak selaku sukarelawan untuk anak-anak muda, bukan menggalas tugas sebagai pegawai di bank atau syarikat.

Artikel Berkaitan:

Hock Chuan: Boleh Datuk maklum kepada mahkamah dengan lebih jelas, dari amalan politik adakah ia menjadi perkara biasa?

Zakaria: Sangat biasa.

Pada 17 Januari lalu, Tengku Adnan memberi keterangan bersumpah pada hari pertama prosiding pembelaannya dan selesai memberi keterangan bela diri pada 5 Mac.

Peringkat pendakwaan pula, seramai 23 saksi pendakwaan dipanggil antaranya bekas Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Tan Sri Mohd Amin Nordin Abd Aziz dan Tan Sri Ahmad Phesal Talib; Pengarah Urusan Syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd, Tan Sri Chai Kin Kong, kakitangan syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd dan pegawai DBKL.

Pada 14 Oktober 2019, mahkamah memerintahkan Tengku Adnan, 69, membela diri atas pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie terhadap kes tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong, yang juga pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016.

Tengku Adnan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.