X

Kindly register in order to view this article
!

Kantoi bersekedudukan, hisap dadah

Sebahagian barang menghisap dadah yang dirampas di dalam rumah sewa. - Foto Ihsan KRT Teluk Ketapang
A
A

KUALA NERUS - Tiga wanita ditahan termasuk dua beradik kerana dipercayai menghisap dadah jenis syabu dan pil kuda di sebuah rumah sewa di Kampung Teluk Ketapang Pantai di sini malam kelmarin.

Kedua-dua beradik berusia 24 dan 28 tahun dan rakan mereka berusia 31 tahun ditahan dalam operasi nasihat sumbang mahram dan dadah oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Teluk Ketapang bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Teluk Ketapang selepas menerima aduan penduduk kampung.

Ketua Skuad Skim Rondaan Sukarela (SRS) KRT Teluk Ketapang, Zainuddin Awang berkata, serbuan kira-kira jam 10 malam yang turut mendapat kerjasama daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Terengganu juga membongkar rahsia dua beradik itu yang tergamak menipu pemilik rumah kononnya dua lelaki yang tinggal bersama adalah suami masing-masing.

Beliau berkata, dua beradik tersebut turun memaklumkan kononnya rakan mereka yang menumpang di rumah berkenaan adalah adik-beradik.

"Difahamkan, pasangan itu sudah tinggal bersekedudukan di rumah berkenaan hampir enam bulan, tetapi secara kebetulan semasa serbuan, dua lelaki terbabit tiada di rumah.

"Hasil siasatan, mereka mengaku menjadikan rumah sewa tersebut sebagai port menghisap dadah dan dua lelaki yang kononnya suami itu merupakan 'pembekal' barang terlarang tersebut untuk kegunaan harian mereka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Zainuddin berkata, ketiga-tiga wanita tersebut diserahkan kepada pihak AADK untuk tindakan selanjutnya.

Operasi selama dua jam yang berakhir jam 12 tengah malam itu disertai hampir 50 orang termasuk Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Pegawai Perpaduan Daerah Kuala Terengganu.

Turut turun padang penghulu mukim Seberang Takir, Skuad Elit Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Kuala Nerus, Jiran Wanita dan penduduk kampung.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus