Edar dadah guna jalan laut

Amran (dua dari kiri) menunjukkan dadah dan wang tunai yang dirampas.
Amran (dua dari kiri) menunjukkan dadah dan wang tunai yang dirampas.
A
A
A

KUANTAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang berjaya mematahkan kegiatan pengedaran dadah melalui jalan laut susulan penahanan lapan individu dalam operasi di sekitar Tanjung Gemuk, Rompin 27 Jun lalu.

Penahanan suspek berusia 25 hingga 46 tahun itu membawa kepada rampasan sejumlah dadah dianggarkan seberat 627.35 gram dadah bernilai lebih RM61,000, wang tunai RM3,950 dan sebuah bot gentian kaca melibatkan nilai rampasan keseluruhan mencecah lebih RM150,000.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Amran Daud berkata, empat suspek ditahan kita-kira jam 3 petang hari berkenaan ketika menaiki bot tanpa nombor pendaftaran di kawasan pesisiran muara Endau dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, anggota APMM yang sedang membuat rondaan cuba menahan bot terbabit untuk pemeriksaan, namun suspek bertindak melarikan diri sebelum mereka berjaya dipintas dan ditahan.

"Pemeriksaan lanjut ke atas bot dinaiki membawa kepada penemuan dua bungkusan plastik hitam mengandungi 15 bungkusan plastik kecil berisi dadah disyaki syabu dengan anggaran berat 238.5 gram bersama wang tunai RM3,350.

"Hasil soal siasat ke atas empat empat suspek itu membawa kepada penggeledahan sebuah rumah di Endau, Mersing sebelum kita berjaya menahan empat lagi suspek di rumah tersebut," katanya pada sidang akhbar di Pejabat APMM Pahang, Indera Mahkota di sini hari ini.

Amran berkata, pemeriksaan ke atas rumah milik salah seorang suspek itu, pihaknya menemui dan merampas dadah jenis syabu dan heroin dengan anggaran berat 388.85 gram dan wang tunai RM600.

"Semua suspek kini ditahan reman selama seminggu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan:

"Kita percaya sindiket ini bermula di Johor dan menyeludup masuk ke Pahang menggunakan jalan air membawa masuk bekalan dadah untuk pasaran di sekitar Rompin termasuk kepada nelayan," katanya.

Menurutnya, beliau percaya kegiatan itu dijalankan sejak beberapa bulan lalu dan mereka kerap masuk ke Tanjung Gemuk empat atau lima hari seminggu untuk menghantar bekalan.

"Tangkapan ini adalah yang pertama melibatkan kes di bawah Akta Dadah Berbahaya bagi Maritim Pahang setakat ini.

"Kami akan terus mempergiatkan lagi tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan di laut dari masa ke semasa bagi memastikan sebarang kesalahan dan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras," katanya.

.