Tuntut kerajaan beri jawatan tetap kepada bekas anggota SPAD

Adnan (tiga dari kanan) mengetuai sidang akhbar gesaan bekas kakitangan SPAD di Wisma Cuepacs Pudu hari ini.
Adnan (tiga dari kanan) mengetuai sidang akhbar gesaan bekas kakitangan SPAD di Wisma Cuepacs Pudu hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan menyerap 241 bekas kakitangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) ke jawatan tetap di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata, bekas kakitangan SPAD ini telah ditempatkan secara kontrak di JPJ ekoran pembubaran agensi tersebut sejak tahun 2018 dan dijanjikan jawatan tetap berdasarkan kelayakan, tempoh berkhidmat dan prestasi kerja.

"Sehingga kini, kesemua pekerja tersebut masih tidak menerima maklumat terkini berhubung perancangan semasa kerajaan berkaitan status kontrak yang bakal tamat pada 31 Disember ini.

"Situasi ini ibarat gantung tidak bertali dan sudah pasti menimbulkan keresahan kepada semua bekas pekerja," katanya pada sidang akhbar di Wisma Cuepas di Pudu hari ini.

Adnan berkata, Cuepecs menuntut nasib bekas kakitangan SPAD diberikan perhatian kerajaan yang sebelum ini memberikan jaminan untuk menjaga kebajikan mereka.

"Justeru Cuepecs menggesa supaya mereka diberikan jawatan tetap di JPJ atau diserapkan ke perkhidmatan kerajaan lain. Jangan diberhentikan ketika negara dalam pasca pemulihan dengan keadaan ekonomi yang masih terjejas.

"Kerajaan juga diminta tidak menamatkan perkhidmatan mereka pada Disember 2020 dan terus diberi peluang terus berkhidmat walaupun taraf kontrak sehingga diberikan peluang lain," katanya.

Katanya, perkara itu akan dibawa kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam masa terdekat untuk perhatian kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu SPAD ditubuhkan pada 2010 dan memulakan perkhidmatan setahun kemudian sebelum dibubarkan pada 2018 berikutan langkah penjimatan perbelanjaan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) selain memperkasakan sektor pengangkutan awam darat.

Seramai 270 kakitangan SPAD pelbagai jawatan ditawarkan berkhidmat secara kontrak di JPJ namun hanya 241 daripadanya menerima tawaran tersebut dan masih bertugas sehingga kini.