Penduduk Putrajaya resah

Rakaman video litar tertutup menunjukkan suspek sedang memunggah besi penutup longkang ke dalam sebuah kereta.
A
A

PUTRAJAYA - Ketenteraman kejiranan di beberapa kawasan perumahan di sini sedikit terganggu apabila penduduk mendapati besi penutup longkang di kawasan perumahan mereka hilang dipercayai dicuri.

Lebih mengundang keresahan apabila tular di media sosial satu rakaman video litar tertutup yang menunjukkan seorang lelaki menggunakan sebuah kereta, melakukan kegiatan mencuri besi penutup longkang di beberapa kawasan dipercayai Presint 8 dan 11.

Dalam rakaman video berkenaan, suspek dilihat memarkir kereta di hadapan sebuah rumah di mana terdapat beberapa besi penutup longkang berhampirannya.

Suspek kemudiaannya dirakam keluar dari kereta sebelum memunggah besi penutup longkang ke dalam bonet kereta.

Turut kelihatan beberapa keping besi penutup longkang lain telah ada di dalam bonet kereta suspek dipercayai telah dicuri di kawasan lain dan suspek juga dilihat menutup besi yang dicuri menggunakan sehelai kain berwarna merah.

Menurut maklumat diterima, dipercayai lebih 100 besi penutup longkang telah dicuri.

Sementara itu, laporan polis berkaitan kes berkenaan telah dibuat dan Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan mengesahkan menerima laporan berkaitan kes berkenaan.

Kertas siasatan berhubung kes itu dibuka di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.